KUALA LUMPUR – Hospital Bersalin Razif (HBR) tampil menjelaskan tuduhan yang tular di media sosial mendakwa seorang bayi lelaki disimpan selama dua minggu di dalam peti beku kononnya akibat kegagalan ibunya membayar kos rawatan bersalin.
HBR dalam satu kenyataan menjelaskan, situasi sebenar bermula dengan kehadiran wanita berkenaan ke hospital itu bersama seorang lelaki yang mendakwa ‘suaminya’.
Beliau berkata, wanita itu datang dalam keadaan kesakitan hendak bersalin dan mengaku tidak pernah menjalani pemeriksaan sepanjang tempoh kehamilannya.
HBR terpaksa menerima masuk wanita berkenaan yang hampir bersalin.
“Dia tidak pernah menjalani pemeriksaan antenatal sepanjang kehamilannya dan memantau kehamilannya hanya dengan menggunakan aplikasi telefon pintar.
“Memandangkan kesakitan bersalin yang sangat kuat, dia dibawa dari kereta ke bilik pemeriksaan menggunakan kerusi roda untuk penilaian segera. HBR terpaksa menerima pesakit ini atas dasar kemanusiaan walaupun dia tidak membuat temu janji dan tidak disaring,” jelas kenyataan itu.
Mengulas lanjut HBR berkata, bayi lelaki yang dilahirkan didiagnosis sindrom cyclops meninggal dunia beberapa minit selepas diberikan suntikan rutin dan perancangan rujukan.
Katanya, lelaki bersama wanita tersebut kemudian menandatangani permit pengebumian bayi namun urusan tersebut tidak disempurnakan apabila ‘suami’ wanita tersebut meninggalkan hospital kerana pergi ke tempat lain.
Menjelaskan lebih lanjut, sehari selepas itu wanita berkenaan didapati dalam keadaan sihat dan dibenarkan keluar bagaimanapun dia memaklumkan kepada hospital tidak dapat melunaskan bil bersalin sebanyak RM2,480.
HBR mendakwa perbincangan mengenai pengebumian bayi itu tidak berkesudahan walaupun pihak hopsital telah memaklumkan bahawa urusan pengebumian boleh dijalankan sebelum bil dilunaskan.
HBR juga berbincang dan mencadangkan kepada wanita berkenaan supaya mendapatkan bantuan pihak polis bagi memudahkan urusan pengembumian bayi tersebut, namun pesakit merayu supaya tidak tidak melibatkan polis.
“Wanita berkenaan berulang kali memberitahu bahawa semua keputusan akan dibuat oleh ‘suaminya’.
“HBR cuba mendapatkan maklumat kontak keluarga tetapi pesakit enggan memberikannya kepada sesiapa. Dia mendakwa tinggal di sebuah bilik sewa bersama ‘suaminya’ dan tidak mempunyai keluarga atau rakan di kawasan berhampiran,” kata HBR.
Menurut hospital itu lagi, pesakit dilayan dengan baik, bergaul dengan kakitangan wad, diberikan kaunseling dan makanan percuma.
Suami pesakit datang melawat beberapa minit setiap dua hingga tiga hari sekali namun percubaan untuk bercakap dengan ‘suami’ mengenai pengebumian gagal.
Penjelasan HBR itu susulan laporan yang tular di media sosial mendakwa seorang bayi lelaki dilahirkan tidak sempurna dan didakwa dihina oleh pihak pengurusan sebuah hospital swasta di Klang.
Menurut satu hantaran di Facebook yang dibuat oleh pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official, bayi lelaki yang diberi nama Adham itu dilahirkan dengan satu mata, tiada hidung dan tiada lubang dubur.
Wan Cai mendakwa bayi berkenaan disimpan selama dua minggu di dalam peti beku, selain ibu bayi ditahan oleh pihak hospital kerana tidak membayar kos rawatan di situ.
Katanya lagi, pihaknya yang menguruskan bayi itu terpaksa menggunakan air panas yang dicampur air paip bagi melembutkan tubuh dan sendi-sendi jenazah bayi berkenaan.
Mengulas lanjut, HBR berkata pihaknya komited untuk memastikan ketelusan dan pematuhan dalam semua urusan. – MalaysiaGazette