Datuk N Sivakumar Nadarajah.

KUALA LUMPUR – Jangan lupa jasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada kesejahteraan kaum India sepanjang pentadbirannya dahulu.

Bendahari MIC,  Datuk Sivakumar Nadarajah berkata, ramai kaum India sekarang tidak menghargai usaha Najib.

“Saya amat sedih dengan tindakan segelintir pihak yang bersikap seperti ‘kacang lupakan kulit’. Tanpa Bossku (Najib) destini kaum India di Malaysia mungkin sudah lama terjejas.

“Beliau adalah satu-satunya Perdana Menteri yang benar-benar mengambil serius tentang kebajikan, kesejahteraan dan kecemerlangan masyarakat India di negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sivakumar yang juga Presiden Majlis Kuil-Kuil dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) berkata,  antara inisiatif penting yang diperkenalkan oleh Najib adalah Malaysian Indian Blueprint 2017 –  satu pelan komprehensif untuk pembangunan komuniti India –  yang tidak pernah dirangka oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Katanya, Najib bukan sahaja merangka blueprint berkenaan malah beliau memastikan ia dilaksanakan.

“Tidak ada pemimpin lain yang memikirkan masa depan kaum India dengan cara sedemikian namun ketika itu ramai termakan pelbagai dakyah serta janji manis bulan dan bintang.

“Saya beri lagi contoh, usaha Najib dalam meningkatkan akses pendidikan bagi pelajar India, kuota kemasukan ke universiti awam bagi pelajar India dinaikkan kepada tujuh peratus manakala beliau juga satu-satunya yang menaikkan jumlah tempat untuk program matrikulasi bagi pelajar India daripada 1,500 kepada 2,500 orang.

“Namun masih ada yang menuduh beliau tidak mempedulikan pendidikan kaum India. Hakikatnya ramai pelajar yang diberi peluang ini menolak tawaran tersebut, menyebabkan pelajar lain kehilangan peluang keemasan,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan rumah ibadat Hindu, Sivakumar memuji komitmen Najib melalui penubuhan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India (SITF).

Kata beliau, inisiatif Najib itu bagi memastikan rumah-rumah ibadat Hindu bukan sekadar tempat keagamaan tetapi juga pusat komuniti untuk memperkasakan masyarakat.

“Beliau sendiri mempengerusikan jawatankuasa ini di bawah Jabatan Perdana Menteri dan memastikan dana disediakan untuk tujuan ini. Hari ini, kerajaan MADANI meneruskan konsep ini tetapi asalnya ia diperkenalkan oleh Najib, jangan kita sesekali lupa yang itu.

IMBAS KEMBALI. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir beramah mesra dengan sebahagian masyarakat india bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan (tiga kanan) dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique (kiri) pada Sambutan Hari Perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 JANUARI 2022.

“Untuk pengetahuan anda juga, Najib juga adalah satu-satunya Perdana Menteri yang secara konsisten hadir ke sambutan Thaipusam setiap tahun di Batu Caves. Tidak kira kritikan atau larangan, beliau tetap hadir dengan berpakaian tradisional Hindu dan meraikan sambutan itu bersama masyarakat India.

“Walaupun selepas tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri, beliau tetap tidak melupakan sambutan ini. Ini menunjukkan hubungan erat antara beliau dengan rakyat, hari ini tıap kali Thaipusam pastinya kelibat itu amat dirindui ramai,” katanya.

Menyentuh isu titah adendum, Sivakumar berharap bekas Perdana Menteri itu mendapat keadilan di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari nanti.

Mengakhiri kenyataannya, Sivakumar memetik falsafah Thiruvalluvar dalam Thirukkural; Nandri Marappathu Nanandru, nandrallathu Andre Marappathu Nandu yang bermaksud lebih baik melupakan kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain tetapi jangan sesekali melupakan kebaikan orang lain kepada kita. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here