Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) meminta orang ramai agar bersabar mengenai dakwaan mayat bayi lelaki ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta di Klang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedang mendapatkan laporan penuh mengenai kes berkenaan dan menasihatkan agar masyarakat tidak membuat apa-apa andaian tentang perkara itu.

“Ada dakwa dakwi di sana. Jadi saya percaya kita bersabar dalam mendapatkan fakta yang sebenarnya sebelum membuat apa-apa andaian yang mungkin kita akan kesal kemudian.

“Jadi saya akan menantikan dengan sabar untuk mendapatkan dapatan penuh daripada semua pihak berwajib yang sedang menjalankan siasatan termasuklah Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) yang turun mendekati beberapa pihak  terbabit.

“Saya mahukan perkara ini terus diambil dengan penuh ihsan dan empati kita, itu yang utamanya,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Dzulkefly berkata demikian mengulas laporan media mengenai jenazah bayi yang dinamakan Muhammad Adham Mikail ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta kerana bapanya dipercayai tidak mempunyai wang untuk menuntut mayat tersebut.

Kisah pilu itu dimuat naik menerusi Facebook Mr Wan Chai Official, pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang mengambil tanggungjawab untuk menguruskan jenazah bayi berkenaan.

Wan Cai memaklumkan, UKVJ menghadapi masalah sewaktu menguruskan jenazah bayi tersebut kerana jasad anak kecil itu beku sepenuhnya sehinggakan terpaksa menggunakan air panas untuk melembutkan semula tubuh dan sendinya.

Difahamkan, Muhammad Adham Mikail yang dilahirkan pada 24 November lalu mengalami sindrom siklop iaitu lahir dengan hanya satu mata, tiada hidung dan tanpa dubur.

Hari ini, Hospital Bersalin Razif (HBR) tampil memberikan respons berhubung kes tersebut dengan menafikan dakwaan menahan jasad bayi itu.

Sebaliknya, katanya, pihak hospitak telah membenarkan keluarga pesakit menuntut dan menguruskan pengebumian terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran sebanyak RM2,480.

Menurut hospital swasta berkenaan, perbincangan turut dibuat antara kedua-dua pihak sama ada ingin melibatkan polis atau sebaliknya bagi membantu menguruskan pengebumian, tetapi pesakit merayu untuk tidak berbuat demikian. – MalaysiaGazette

Gagal lunas bil, jasad bayi disimpan? Hospital Bersalin Razif tampil beri penjelasan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast