KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Semberong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menolak dakwaan kononnya beliau bakal menjadi perdana menteri.
Pemimpin UMNO yang digantung keahlian daripada parti selama enam tahun bermula Januari 2022 itu menyifatkan dakwaan tersebut sebagai khabar angin.
Beliau yang juga bekas Naib Presiden UMNO menjawab perkongsian Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam satu hantaran di Facebook.
“Jangan percaya khabar angin kerana cerita macam ini selamanya bermula dan dikipas oleh YB Seputeh,” kata Hishammuddin dalam ruangan komen.
Teresa sebelum itu secara berjenaka mengucapkan tahniah kepada Hishammuddin berikutan terdapat khabar angin beliau akan menjadi perdana menteri.
Beliau yang juga Naib Presiden DAP turut berkongsi gambar bersama Hishammuddin dalam Dewan Rakyat dengan kedua-duanya sedang tersenyum.
“Lama tak jumpa jiran saya, H2O di Dewan Rakyat. Kononnya dia akan jadi bakal PM? Saya ucap tahniah kepada dia. Ha ha! Apakah pendapat anda?” soal Teresa.
Sebelum itu gambar Hishammuddin dan beberapa pemimpin BN hadir majlis perkahwinan anak Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali dikongsi di media sosial.
Turut hadir pada majlis itu pemimpin Perikatan Nasional dan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.-MalaysiaGazette