PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming merayu kepada pembangkang agar tidak mempolitikkan bencana banjir yang berlaku ekoran fenomena Monsun Timur Laut (MTL).
Kor Ming berkata, kerajaan telah menggerakkan bantuan banjir dan menggesa agar semua pihak memberi tumpuan membantu rakyat yang terjejas akibat banjir, khususnya di Kelantan dan Terengganu.
“Saya merayu kepada pembangkang jangan politikkan bencana banjir, tidak ada orang mahu bencana banjir ini berlaku.
“Yang penting bagaimana kerajaan membantu rakyat sekarang, kita mahu politik yang membina, bukan politik yang membinasakan,” katanya selepas flag off Skuad Insan Madani di pekarangan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), hari ini.
Seramai 125 sukarelawan yang terdiri daripada warga KPKT termasuk Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Atirah Sabu mendaftar untuk menyertai misi bantuan pasca banjir.
Sebelum ini, Ahli-ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan mempertimbangkan peruntukan segera sebanyak RM1 juta ke kawasan terjejas banjir untuk membantu rakyat.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya telah membuat permohonan termasuk melalui pesanan khidmat ringkas (SMS) berhubung hasrat tersebut.
Sementara itu, Kor Ming berkata, kerajaan telah menggerakkan 82,000 jentera termasuk RM153 juta untuk bantuan wang ihsan mangsa banjir di seluruh negara.
“Selain daripada itu, untuk memastikan negeri Kelantan dan Terengganu juga dibela dengan peruntukan khas sebanyak RM50 juta kedua-dua negeri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, morbilisasi skuad berkenaan akan digerakkan Ahad ini.
Misi kesiapsiagaan pasca banjir akan dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam aspek penyediaan jentera peralatan serta sukarelawan. – MalaysiaGazette