KUALA LUMPUR- Penyaluran tenaga elektrik hijau pertama dengan kapasiti 50MW dari Malaysia ke Singapura susulan Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu atau Renewable Energy Supply Agreement (RESA) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sembcorp Power Pte Ltd (Sembcorp Power) dimulakan hari ini.
TNB selaku syarikat utiliti nasional bertanggungjawab menyalurkan bekalan elektrik hijau dari sistem bekalan elektrik negara ke sistem bekalan elektrik Singapura melalui Syarikat Sembcorp Power yang merupakan pemegang lesen import bekalan elektrik di negara tersebut.
Penyaluran tenaga elektrik itu dilakukan menerusi rangkaian sambung tara sedia ada di antara kedua-dua negara.
Majlis disaksikan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama pengurusan tertinggi dari Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga dan juga TNB, di Pusat Kawalan Muatan Kuasa Nasional atau National Load Dispatch Centre di Ibu Pejabat TNB Bangsar. -MalaysiaGazette