KUALA LUMPUR – Stigma terhadap penghidap Human Immunodeficiency Virus (HIV) kekal menjadi isu sosial yang berpanjangan dan membebani individu terkesan dengan diskriminasi dan tekanan.
Diskriminasi yang mencengkam golongan itu menambah cabaran dalam kehidupan harian mereka.
Namun penting untuk disedari bahawa penghidap HIV mampu menjalani kehidupan normal seperti individu lain dengan syarat mereka mendapatkan rawatan yang tepat dan konsisten.
Pakar Perubatan Keluarga dan Pengasas Persatuan Kesedaran AIDS Sabah (SAGA), Dr. Zaiton Yahaya berkata, stigma yang dihadapi sering menyebabkan ramai penghidap HIV memilih untuk menyembunyikan status kesihatan mereka.
“Penghidap HIV, disebabkan stigma enggan bercampur dengan masyarakat kerana takut tidak diterima. Dahulu, ramai bimbang kehilangan pekerjaan jika status mereka diketahui. Namun kini, pelbagai organisasi bekerjasama untuk menghapuskan stigma dalam komuniti,” katanya.

Dr. Zaiton turut menekankan rawatan awal dan tepat membolehkan penghidap HIV menjalani kehidupan seperti biasa.
“Jangan takut untuk datang ke klinik, menjalani ujian dan menghadapi kenyataan,” katanya pada Majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pesakit HIV, Aaron (bukan nama sebenar) mendedahkan dia didiagnos menghidap penyakit tersebut selepas menjalani ujian saringan.

Menurutnya, stigma masyarakat terhadap penghidap HIV bukan sahaja menyukarkan kehidupan malah berupaya ‘membunuh’ mereka secara emosi dan mental.
“Stigma masyarakat terhadap penghidap HIV sering dikaitkan dengan mitos pesakit tidak akan hidup lama atau terlibat dalam aktiviti berisiko.
“Padahal ada kes di mana pesakit dijangkiti akibat menjadi mangsa gangguan seksual,” katanya.
Walaupun menghadapi pelbagai liku dan cabaran, Aaron dapat menjalani kehidupan seperti biasa dengan mengambil ubat secara konsisten setiap hari.
“Macam biasalah, sama macam orang lain, makan tidur, semua normal. Yang berbeza, kita makan ubat sahaja. Macam saya, makan sekali, saya makan pukul 10 malam dan esok 10 malam dan seterusnya,” jelasnya.
Selain itu, dia turut menasihati orang ramai agar tidak takut untuk menjalani ujian HIV atau mendapatkan rawatan jika terlibat dalam aktiviti berisiko.
Menurutnya, sekiranya seseorang merasa ragu atau bimbang untuk berjumpa doktor atau ahli komuniti kesihatan, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada NGO yang sedia membantu.
“Sekiranya kalau ada yang terlibat dengan aktiviti berisiko, kalau rasa gundah ataupun rasa risau untuk berjumpa doktor sekalipun ataupun pekerja kesihatan, boleh datang dekat kita (NGO),” jelasnya.
Seorang lagi pesakit HIV, yang ingin dikenali sebagai Siti (bukan nama sebenar) berkongsi pengalamannya setelah 19 tahun hidup dengan penyakit itu.

Katanya, walaupun telah didiagnosis HIV, dia percaya setiap individu berhak menjalani kehidupan yang penuh dengan harapan.
“Saya tak bangga mengatakan saya ini hidup HIV positif sudah 19 tahun tapi saya sihat, alhamdulillah saya tak ada berbeza pun dengan orang lain,” katanya.
Mengenai stigma dan tanggapan masyarakat, Siti berkata, stigma terhadap HIV tidak akan selesai selagi masyarakat tidak mengubah pemikiran mereka.
Katanya, masyarakat perlu menyedari HIV bukanlah penghalang untuk berkahwin atau mempunyai anak asalkan rawatan dijalankan dengan betul.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan masyarakat perlu memperbetulkan segala maklumat yang salah mengenai HIV terutama angapan yang sering menakutkan kepada umum. – MalaysiaGazette