PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bukan bertujuan membalas dendam terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, Perdana Menteri menjelaskan, naratif dendam tidak wajar dimainkan kerana jawatankuasa yang ditubuhkan adalah untuk menyemak semula undang-undang berkenaan Pulau Batu Puteh sehingga tertubuhnya RCI tersebut.
“Tak timbul pun (dendam), masa jawatankuasa pasukan khas itu dibuat sebelum saya pun, itu masa Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) Perdana Menteri…Menterinya, Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) menterinya, Takiyuddin (Datuk Seri Takiyuddin Hassan).
“Dia ada buat dah findings (dapatan) dia lebih teruk lagi jadi tak usah (main naratif dendam). Itu biasalah, tapi dia buat dulu macam mana, Takiyuddin buat masa tu, Hamzah.
“Ini soal wilayah, mana boleh ada ke negara yang mengizinkan mudah begitu serah (Pulau Batu Puteh) tak boleh, itu prinsip kita.
“Saya tak cadang apa-apa itu serah kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Darul Ulum, Presint 11 di sini, hari ini.
Perdana Menteri ditanya mengenai dakwaan pembangkang yang mengatakan RCI berkenaan adalah untuk membalas dendam.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan bahawa proses siasatan yang dijalankan secara tertutup, khususnya terhadap Dr Mahathir disifatkan tidak diberikan akses penuh untuk mempertahankan diri.
Beliau juga menyifatkan bahawa ketidakadilan dalam prosedur ini mungkin merujuk kepada ‘keadilan versi baru’ yang hanya digunakan untuk musuh politik tertentu dan bukannya berdasarkan prinsip keadilan sejati.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membahaskan perkara itu di Parlimen dilapor berkata, RCI tersebut bukannya bertujuan mahu mendakwa mana-mana pihak.
Sebaliknya, beliau berkata, ia bagi membolehkan kerajaan mengambil cadangan serta keputusan untuk memperbaiki kelemahan berkaitan kes itu.
Beliau berkata, usul itu mempamerkan kesediaan Kerajaan Madani untuk mendedahkan laporan berkaitan kes berkenaan kepada umum, berbanding keputusan membabitkan kes sama yang dimuktamadkan Kabinet terdahulu. – MalaysiaGazette