KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan parti-parti dalam kerajaan perpaduan supaya tidak ‘mencuri’ ahli daripada parti lain.
Katanya, parti-parti dalam kerajaan dinasihatkan agar menjaga kesejahteraan dan ukhwah dalam kalangan parti-parti dan menolak kepentingan peribadi.
“Parti dalam komponen kerajaan perpaduan tidak harus mengambil mana-mana ahli parti lain di dalam komponen itu. Kalau berlaku tentu mereka juga terasa hati.
“Jadi dalam keadaan sebegitu eloklah kita menjaga perpaduan dalam kalangan kita dan mana-mana ahli dan pimpinan parti mesti mengutamakan kepentingan partinya sendiri dan bukan kepentingan peribadinya,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Kali Ke-4 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengesahkan tiada permohonan daripada Tengku Zafrul untuk meninggalkan UMNO.
“Setakat ini tidak ada permohonan daripada beliau dan beliau juga tidak bertemu dengan saya. Jadi kita tidak dapat mengesahkan perkara itu,” katanya lagi.
Media semalam melaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bakal menyertai Parti Keadilan Rakyat.
Malah, sumber dalaman UMNO Selangor dikatakan mendakwa, keputusan mengenainya akan dibuat dalam tempoh terdekat.
Tengku Zafrul menjadi Ahli UMNO Bahagian Kota Raja pada Januari 2023 sebelum mengangkat sumpah sebagai ahli MKT UMNO sebulan berikutnya. – MalaysiaGazette