KUALA LUMPUR – Proses pembedahan, pembekuan dan pengawetan mayat adalah haram di sisi agama Islam kerana perbuatan itu disifatkan menyakiti jenazah.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, perbuatan tersebut dilarang hukum syarak kerana ia berbentuk penganiayaan.
“Perbuatan menyakiti jenazah dilarang agama kerana manusia merupakan makhluk yang dimuliakan dan menyakiti jenazah adalah sama seperti menyakitinya ketika hidup,” ujar kenyataan itu menerusi laman Faceebook hari ini.
Menurut kenyataan itu, Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyatakan hadis riwayat Abu Hurairah RA menyarankan supaya pengurusan jenazah disegerakan kerana terdapat hikmah sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW.
`Jika terdapat keperluan mendesak maka ia harus dilakukan dengan penuh berhati-hati mengikut keperluan dan berlandaskan prosedur ditetapkan oleh pihak berautoriti.
“Sebagai contoh, penangguhan tersebut menyebabkan berlakunya perubahan pada tubuh jenazah, maka hukum mempercepatkan pengurusan jenazah tersebut menjadi wajib.
“Selain itu pengurusan mestilah dilakukan secara tertutup dan menjaga aib jenazah serta haram menyiarkannya secara terbuka,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan orang ramai berhubung isu pembekuan bayi di hospital swasta yang tular di media sosial dan menimbulkan pelbagai kekeliruan dalam masyarakat.
Dua hari lalu, media melaporkan, Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar meminta Mufti Wilayah Persekutuan, Profesor Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah menjelaskan hukum menyimpan dan membekukan mayat.
“Meskipun kejadian itu berlaku di Selangor, tidak salah bagi seorang mufti untuk mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian menyayat hati itu,” kata Mohd. Na’im.
Baru-baru ini tular di media sosial berhubung tindakan sebuah hospital swasta yang didakwa menahan dan membekukan jenazah bayi selama dua minggu hanya kerana pesakit tidak mampu membayar kos kelahiran bayi tersebut.
Menurut kenyataan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tidak akan menyentuh kejadian yang berlaku kerana tidak mendapat maklumat terperinci mengenainya, sebaliknya hanya berkongsi pandangan Islam.
Jelasnya, bahkan menurut para ulama mazhab al-Syafi’i menyegerakan pengurusan jenazah merangkumi kesemua tatacara pengurusan bermula daripada proses pemandian, solat hingga ke pengebumian jenazah merupakan perkara yang sunat.
“Ulama mazhab al-Syafi’i tidak membenarkan melewatkan pengurusan jenazah melainkan untuk menunggu wali atau ahli keluarga yang terdekat selagi mana tidak mengubah keadaan jenazah.
“Selain itu, jika kelewatan itu disebabkan suatu maslahah tertentu, maka ia dibenarkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette