PONTIAN – Kementerian Komunikasi akan memastikan pelaksanaan fasa kedua pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) lebih baik terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman selepas fasa pertama kini dilaporkan menghadapi kelewatan ketara.
Menterinya, Fahmi Fazdil berkata, penggunaan teknologi internet tanpa wayar oleh Tarana antara langkah yang sedang dikaji bagi mengatasi isu pemasangan gentian optik yang sukar.
“Peranti jalur lebar tanpa wayar terbabit sudah diuji sejak Oktober lalu di empat lokasi termasuk di Kampung Seri Bunian, Pontian dan Sedenak, Kulai menunjukkan keputusan memberangsangkan.
“Daripada segi spesifikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus mengkaji tetapi ada beberapa perkara yang saya boleh pertimbangkan untuk kegunaan dalam penyelesaian yang kita rangka contohnya dalam program Jendela fasa dua.
“Pelbagai teknologi baharu yang muncul kita dapati stabil, ideal, agak pantas dan telah digunakan beberapa negara lain serta berkemampuan untuk menyelesaikan masalah khusus Malaysia.
“Contohnya kita ada tempat yang gunung-ganang, bukit- bakau dan ada juga yang merentasi sungai ataupun sampai ke pulau-pulau, untuk melengkapkan 1.8 peratus kawasan berpenduduk di negara ini yang masih belum mempunyai capaian internet ,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja meninjau tapak projek Prove of Concept (POC) Tarana di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian di sini hari ini.
Fahmi memberitahu, pelaksanaan Jendela fasa satu sangat tidak memuaskan dengan pelbagai masalah termasuk teknologi yang digunakan tidak sesuai dengan lokasi.
“Semasa dalam Parlimen saya ada sebutkan Jendela fasa satu daripada 1,661 menara yang dirancang, hanya 1,385 telah siap dibina dan daripada jumlah itu, hanya 808 menara telah digunakan setakat ini.
“Kita teliti dan antara kesilapan yang kita anggap kecelaruan pada ketika itu ialah teknologi yang digunakan tidak sesuai dengan lokasi tertentu di samping masalah tanah dan bekalan tenaga,” katanya.- MalaysiaGazette