KUALA LUMPUR – Polis telah merakam keterangan pemilik kenderaan yang terbakar melanggar tiang Transit Aliran Ringan (LRT) di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala lumpur, Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superitendan M. Hussein Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya mengambil keterangan setelah butiran pemilik kereta terbabit dikenal pasi.
“Berdasarkan keterangan, pemilik itu mengesyaki mangsa kemalangan adalah anaknya yang dipercayai memandu kenderaan itu ketika kejadian.
“Bagaimanapun, pengesahan identiti mangsa tidak dapat diberikan sehingga laporan pengesahan asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, permohonan DNA telah dilakukan dan hasil keputusan akan diperoleh dalam tempoh antara satu hingga dua minggu.
Khamis lalu, media melaporkan seorang pemandu maut kerana seluruh badannya terbakar selepas kereta dipandunya melanggar tiang LRT di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Petaling Jaya.
M. Hussein Sollehuddin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 7.24 pagi dan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum kereta Honda Accord dipandunya terbabas. – MalaysiaGazette