JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri memperuntukkan RM16.8 juta untuk Program Bantuan Kasih Johor di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berfasa bermula akhir tahun ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, program itu akan memanfaatkan 280,000 keluarga miskin dan kurang kemampuan dalam golongan (B40) di seluruh negeri.
Beliau memberitahu, sebanyak 5,000 bakul makanan akan diagihkan di semua 56 DUN tersebut.
“Syukur Alhamdulillah, berkat hasil rezeki Kerajaan Negeri Johor mencecah RM2 bilion buat pertama kali tahun ini, sebanyak RM16.8 juta diperuntukkan bagi Program Bantuan Kasih Johor.
“Barangan asas yang akan diberikan dalam bakul makanan ini termasuklah beras, minyak masak, tepung gandum, gula, dan sardin,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap melancarkan Program Bantuan Kasih Johor bagi DUN Machap dan Layang-Layang.
Mengulas lanjut, beliau berkata, agihan bakul makanan menerusi program itu akan dijalankan dalam lima peringkat bermula bulan ini hingga bulan depan.
“Ini bagi memastikan pengurusan logistik berjalan lancar dan bekalan barangan kawalan dapat disediakan mengikut keperluan.
“Setiap fasa membabitkan penghantaran 1,000 bakul makanan kepada setiap DUN,” jelasnya.
Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri terus komited bagi memastikan golongan rentan di negeri ini mendapat perhatian yang sewajarnya.
“Semoga inisiatif baik ini mampu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat Johor serta menoktahkan miskin tegar,” katanya.- MalaysiaGazette