Petugas TNB melakukan pemotongan elektrik di sebuah premis judi di Kuantan.

KUANTAN – Sepuluh premis yang menjalankan kegiatan perjudian di daerah ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, tindakan itu dilakukan bagi melumpuhkan aktiviti perjudian termasuk dalam talian serta loteri tanpa lesen, bagi memastikan mereka kembali tidak beroperasi semula.

Beliau berkata, operasi itu dilakukan setelah mendapat arahan pemotongan dari mahkamah, melibatkan beberapa kawasan iaitu Kempadang, Tanjung Lumpur, Balok, Sungai Isap, Gambang dan Panching.

“Operasi pemotongan bekalan elektrik ini melibatkan kes yang telah dijatuhkan hukuman di mahkamah. Modus operandi mereka, berselindung di sebalik perniagaan kolam memancing udang, menjual gajet, perjudian dalam talian seperti tambah nilai judi dalam talian, jual loteri haram dan ada yang menawarkan bermain judi di premis.

“Sepanjang tahun 2024, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuantan telah mengemukakan 33 permohonan kepada pihak TNB untuk melakukan pemotongan bekalan elektrik bagi kes seperti itu, dan setakat ini kelulusan yang kita peroleh adalah 13. Sepanjang tiga hari operasi sejak Khamis, 10 premis sudah dipotong, tinggal lagi tiga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengetuai operasi pemotongan bekalan elektrik di beberapa premis di sekitar daerah ini, di sini hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata tindakan pemotongan elektrik itu dilakukan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (pindaan 2001).  – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here