JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah berputih mata selepas wang simpanan RM752,398 lebur dalam pelaburan mata wang digital yang tidak wujud.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superitendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir berkata, semuanya bermula akhir Ogos lalu selepas mangsa berminat dengan tawaran pelaburan bitcoin dalam Facebook.
“Tertarik dengan iklan pelaburan itu dalam Facebook, mangsa menekan pautan sebelum dimasukkan dalam satu kumpulan pelaburan VIP Investment Group (Malaysia).
“Mangsa diberi penerangan oleh beberapa individu berkenaan pelaburan bitcoin dengan dijanjikan pulangan yang lumayan dalam tempoh satu bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kemudian memuat turun aplikasi UVKXE bagi memantau bitcoin yang dilabur dan boleh melihat keuntungan diperoleh.
Tertarik dengan tawaran pulangan yang lumayan kata Mohd Roslan, mangsa melakukan 12 kali transaksi pembayaran ke dalam tujuh akaun bank berbeza keseluruhannya berjumlah RM896,813 dari 29 Oktober hingga 18 November lalu.
“Mangsa dapat melihat keuntungan berjumlah AS$185,838 dalam aplikasi dan ingin membuat pengeluaran wang keuntungan.
“Mangsa hanya dibayar keuntungan RM144,415 manakala untuk pengeluaran seterusnya mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran lagi sebanyak 1 peratus daripada keuntungan tersebut menyebabkan mangsa mengesyaki telah ditipu,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.
Selain daripada itu ujarnya, tindakan siasatan juga akan meliputi penglibatan keldai akaun bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan berkaitan instumen pembayaran atau akaun dalam institusi kewangan.
Dalam pada itu, pihaknya menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan dilihat dalam media sosial yang menjanjikan pulangan tinggi, mudah dan dalam masa singkat.
“Orang ramai disaran untuk membuat semakan dengan agensi berkaitan polis, Bank Negara Malaysia dan suruhanjaya sekuriti bagi mendapatkan kepastian dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pelaburan yang ditawarkan,” katanya.
Tambah beliau, gunakan perkhidmatan atas talian yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti National Scam Response Centre, CCID Infoline, semak mule dan juga Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sebelum membuat transaksi.- MalaysiaGazette