KOTA TINGGI – Kementerian Pertahanan (Mindef) akan mengekalkan elaun RM8 sehari yang bakal diberikan kepada peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bermula Januari ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kenaikan elaun tersebut tidak wajar dibangkitkan ketika ini kerana program berkenaan belum bermula.
“Setakat hari ini kita kekal (kadar elaun) sebab kita belum lagi pun bermula. Bulan sudah bermula nanti barulah kita lihat semula,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Kampung Angkat Madani di Felda Kampung Baru Pasak, di sini, hari ini.
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan bermula 12 Januari tahun depan membabitkan 200 pelatih lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, itu adalah latihan atau fasa percubaan sebelum diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun tahun depan.
Katanya, latihan itu akan membabitkan tempoh selama dua minggu dan dilaksanakan di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Transit di Kuala Lumpur.
Media sebelum ini, melaporkan sebanyak 13 kem tentera dikenal pasti sebagai lokasi pelaksanaan PLKN 3.0 antaranya di Kuala Lumpur dan Pahang yang akan digunakan bagi menempatkan peserta terpilih menjelang 2026.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kemudian membangkitkan elaun RM8 sehari adalah rendah dan terdapat cadangan untuk meningkatkannya kepada RM50 sehari.
“Jawatankuasa mengesyorkan supaya kerajaan mempertimbangkan kenaikan kadar elaun berikutan peningkatan kos sara hidup dan sebagai insentif bagi peserta untuk menyertai program berkenaan,” menurut laporan itu.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Mindef yakin insiden buli dan provokasi antara peserta PLKN 3.0 mampu dielakkan.
Menurutnya, ini kerana tempoh PLKN 3.0 tidak melebihi dua bulan yang dilaksanakan dalam kem tentera.
“PLKN 3.0 akan dilaksanakan dalam tempoh masa 45 hari sahaja dan berasaskan kepada itu juga dibuat dalam kem tentera.
“Berasaskan kepada soal itu kita percaya soal itu (buli dan provokasi) akan dapat ditangani,” kataya. – MalaysiaGazette