KUALA LUMPUR – Seorang selebriti program realiti komedi direman lima hari bermula hari ini kerana memiliki dua paket lutsinar disyaki ganja di rumahnya di Cyberjaya.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, permohonan reman sehingga 19 Disember dikeluarkan oleh Datok Maslinda Selamat di Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat, pagi tadi,
“Permohonan ke atas suspek dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang selebriti lelaki tempatan ditahan di sebuah rumah teres di Cyberjaya bersama dua paket lutsinar disyaki dadah jenis ganja.
Norhizam berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan susulan serbuan dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan dan Jenayah IPD Sepang pada jam 3.10 petang semalam.
“Suspek ditahan reman pagi ini, di Banting (Mahkamah Majister Teluk Datok).
“Hasil siasatan polis, menemui dua paket lutsinar yang setiap satunya mengandungi leraian disyaki daun ganja anggaran berat keseluruhan 60.3 gram.
“Pemeriksaan ujian air kencing terhadap suspek didapati positif dadah tetrahydrocannabinol (THC) dan siasatan mendapati suspek tidak mempunyai sabitan rekod lampau,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette