JASIN – Seri Nanas Farm menyasarkan Melaka menjadi antara pengeluar nanas terbesar di negara ini dalam tempoh tiga tahun lagi sekali gus memperkasakan lagi sektor pelancongan negeri.
Pengarah Urusannya Aminin Abd Rashid berkata, ia mampu dicapai selepas kejayaan syarikat itu memperoleh tuaian pertama sebanyak 30,150 nanas jenis MD2 melalui usaha sama dengan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).
Menurutnya, hasil benih pertama di Ladang Bukit Senggeh, Selandar, Jasin seluas satu hektar (2.5 ekar) yang dimulakan pada Ogos tahun lalu telah berjaya menghasilkan kira-kira 60,000 tan nanas untuk satu musim selama 15 bulan.
“Ini adalah projek perintis kita di Melaka di tanah milik DMDI yang diharapkan dapat membuka peluang kepada lebih banyak lagi agensi kerajaan untuk menjalinkan kerjasama dengan kami.
“Kita sasarkan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi untuk mempunyai ladang nanas berjumlah lebih 50 ekar (20 hektar) di seluruh Melaka sekali gus menjadikannya antara pengeluar nanas terbesar di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Perasmian Program Tuaitama Nanas MD2 Seri Nanas Farm, Ladang Bukit Senggeh, Selandar, Jasin di sini.
Perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka yang juga Presiden DMDI, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama Pengurus Besar Yayasan DMDI, Datuk Wira Zainal Hussin dan Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Sheikh Umar Bagharib Ali.
Mengulas lanjut, Aminin berkata sasaran itu juga dilihat mampu meningkatkan lagi ekonomi Melaka sebagai negeri pelancongan khususnya dalam aktiviti pelancongan tani atau agropelancongan.
“Kita sudah ada tanah seluas 108 ekar (43 hektar) di Juasseh, Negeri Sembilan dan dah tanam hampir 30 ekar (12 hektar) pokok nanas dan melihat Melaka juga ada potensi itu sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongannya.
“Diharapkan, lebih banyak agensi kerajaan dapat bersama-sama kami untuk memanfaatkan tanah terbiar menjadi sumber pendapatan yang menjana ekonomi kerana pasaran nanas kita sangat tinggi,” tambahnya. – MalaysiaGazette