RayyanIman-2105

IPOH – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui ResQ Team menyumbang 50 kotak bantuan makanan kepada mangsa banjir yang terjejas di daerah Perak Tengah dan Kinta.

Naib Canselornya, Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, sumbangan berkenaan diserahkan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kepayang, Bota dan Dewan Serbaguna Tanjung Tualang, Kinta.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen UPSI dalam mendukung masyarakat, khususnya memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan semasa menghadapi bencana.

“Kami di ResQ Team UPSI berasa terpanggil untuk turun padang membantu mangsa banjir yang kehilangan banyak harta benda dan sumbangan ini mencerminkan keprihatinan kami terhadap penderitaan yang dialami mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, UPSI sentiasa menggalakkan pelajar dan kakitangannya untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, terutamanya ketika menghadapi situasi bencana alam.

“Kami percaya bahawa dengan menyemai nilai-nilai kemanusiaan dan kepedulian sosial, universiti dapat memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Profesor Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong berkata, bantuan disalurkan melibatkan 11 keluarga dari PPS SK Teluk Kepatang dan 39 keluarga dari Dewan Serbaguna Tanjung Tualang.

Katanya, bantuan yang disalurkan merangkumi keperluan asas seperti beras, gula, tepung, dan pelbagai barangan makanan lain yang diharap dapat meringankan beban mangsa sepanjang tempoh pasca banjir.

“Pihak UPSI sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan bantuan disampaikan dengan efisien dan tepat kepada mereka yang memerlukan.

“Ini bukan sekadar misi menghantar bantuan, tetapi juga satu usaha untuk menunjukkan solidariti dan sokongan moral kepada mangsa banjir dan kami berharap kehadiran ResQ Team UPSI dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terkesan,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here