JASIN – Seorang pelajar sekolah menengah cedera manakala abangnya patah kaki dan tangan apabila motosikal dinaiki merempuh sebuah kereta Perodua Kancil di Jalan Jasin-Bemban, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, Muhammad Khidhir Amirudin, 18, yang membonceng adiknya, Nur Irdina Sofea, 16, dalam perjalanan dari arah Kesang ke Jasin Bestari.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati, motosikal jenis Yamaha 135LC itu tiba-tiba melanggar kereta jenis Perodua Kancil dipandu warga emas lelaki berusia 79 tahun.
“Akibatnya, penunggang motosikal patah kaki dan tangan kanan manakala adiknya cedera di kaki kanan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Kemalangan berpunca apabila penunggang motosikal terbabit gagal mengawal kenderaan serta tidak menjaga jarak,” katanya.
Kes disiasat di bawah Sek 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette