MELAKA – Pengurus syarikat swasta direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM375,000 daripada seorang individu bagi mendapatkan gelaran Datuk Seri dari sebuah negeri dua tahun lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 54 tahun itu sehingga 19 Disember ini dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam selepas mendapat permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Menurut sumber, suspek ditahan SPRM kira-kira jam 5.10 petang semalam di Pejabat SPRM Melaka ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan penahanan reman tersebut. – MalaysiaGazette