KUALA LUMPUR – Ramai golongan B40 selepas ini berkemungkinan tidak lagi mampu untuk menunaikan ibadah haji berikutan pengumuman kenaikan kadar bayaran haji seperti diumumkan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) semalam.
Exco Armada Bersatu, Na’im Brundage berkata, kenaikan mendadak kos menunaikan haji bagi golongan B40 iaitu daripada RM15,000 berbanding kadar semasa RM12,356 disifatkan membebankan.
Apatah lagi, jelas beliau yang juga Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharu Armada, sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, bayaran haji meningkat sebanyak 37 peratus atau RM4,020 iaitu peningkatan yang membimbangkan.
Jelasnya, penjelasan Tabung Haji bahawa kenaikan itu disebabkan oleh peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan juga tidak boleh diterima memandangkan ia bercanggah dengan kenyataan Tabung Haji sendiri yang menyebut bahawa kos keseluruhan haji kekal pada RM33,300 sejak tahun sebelumnya.
“Implikasi daripada kenaikan mendadak ini ialah ramai golongan B40 berkemungkinan tidak lagi mampu untuk menunaikan haji, walaupun mereka telah bertahun-tahun menabung di institusi tersebut dengan harapan untuk menunaikan ibadah ini.
“Dengan peningkatan bayaran haji yang naik mendadak setiap tahun, besar kemungkinan harapan itu akan kekal hanya sebagai harapan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan bertindak segera untuk mengembalikan subsidi haji yang telah dipotong bagi memastikan rakyat tidak hilang kepercayaan terhadap institusi Tabung Haji.
Tegasnya, kehilangan kepercayaan terhadap Tabung Haji boleh membawa implikasi kewangan yang besar kepada institusi tersebut memandangkan kedudukan kewangannya bergantung kepada wang simpanan jangka panjang umat Islam yang menyimpan dengan harapan untuk menunaikan haji suatu hari nanti.
“Kerajaan juga perlu segera mengambil langkah tegas dengan mengurangkan penglibatan lantikan politik dalam pengurusan Tabung Haji dan anak syarikatnya.
“Ini penting bagi memastikan pengurusan dan pelaburan Tabung Haji dapat dijalankan secara telus, cekap dan bebas daripada pengaruh politik demi kepentingan pendeposit dan bukan kepentingan politik,” katanya.
Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman memaklumkan, bayaran haji bagi tahun 2025 naik 20 peratus bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 dan M40 susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.
Bagi tahun 2025, kadar bayaran bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama ditetapkan pada RM15,000 berbanding RM12,356 seorang pada 2024. – MalaysiaGazette