JDT meraih kemenangan 3-1 ke atas Sri Pahang FC dalam pertembungan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. - Foto ihsan Facebook Hi Johor Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio kurang berpuas hati apabila melihat pasukannya bergelut meraih kemenangan 3-1 ke atas Sri Pahang FC dalam pertembungan Liga Super di sini malam tadi.

Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, skuad Harimau Selatan terkilan kerana tidak berjaya mencetak sebarang gol pada separuh masa pertama.

Menurutnya, pemain juga tampak hilang fokus apabila membenarkan skuad Tok Gajah menjaringkan gol tunggal perlawanan iaitu seminit selepas pemainnya menjaringkan gol kedua perlawanan.

“Pada babak pertama, kita tidak berjaya menembusi benteng ampuh Tok Gajah yang cukup padat dan tidak memberi ruang kepada kita untuk menjana serangan.

“Pada babak kedua pula, kami mengubah strategi dengan meletakkan wing back di posisi lebih jauh untuk menarik pertahanan mereka, dari situlah kita dapat melakukan serangan di bahagian tengah.

“Walaupun berjaya mengutip tiga mata, saya tidak suka apabila gawang dibolosi. Ini memberi petanda untuk pemain supaya lebih fokus pada setiap detik dan tidak memberi ruang kepada lawan menghukum kesilapan yang dilakukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perlawanan antara JDT dengan Sri Pahang FC di Stadium Sultan Ibrahim di sini.

JDT meriah kejayaan selepas jaringan sendiri oleh pemain pertahanan lawan serta sepakan penalti yang disudahkan Bergson Da Silva pada penghujung permainan menghadiahkan tiga mata buat JDT.

Mengulas lanjut, beliau berkata, corak permainan yang diterapkan oleh ketua jurulatih SPFC, Fandi Ahmad menyebabkan Arif Aiman Hanapi dilihat serba ‘tidak menjadi’ pada perlawanan itu.

Katanya, walaupun pemain sayap itu tidak menjaringkan gol namun dia masih melakukan tugas penting dengan mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan dan bermain secara sepasukan bahkan menghadiahkan penalti kepada JDT.

“Saya tahu bukan mudah untuk kekalkan tahap terbaik pada semua permainan terutama dalam perlawanan yang sukar namun Arif Aiman tetap berusaha keras hingga ke wisel penamat,” katanya.

Tambahnya, JDT mempunyai satu lagi perlawanan penting berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) bagi aksi suku akhir Piala Malaysia, Sabtu ini dan mahu memastikan kemenangan berada dalam tangan sekali gus menutup aksi tahun 2024 dengan cemerlang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here