KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman (KDA) FC menafikan desas desus dakwaan menyatakan skuad Hijau Kuning bakal menarik diri daripada menyertai saingan Liga Super pada musim depan.
Kelab itu dalam satu kenyataan menyangkal dakwaan ia bakal bersaing dalam saingan separuh profesional negara iaitu Liga A1 Semi-Pro di bawah kendalian Amateur Football League (AFL).
Selain itu, pihak pengurusan kelab juga memohon agar tiada pihak membuat berita palsu menggunakan nama kelab kerana ia hanya akan mewujudkan persepsi negatif terhadap KDA FC.
“Pihak pengurusan kelab memohon agar pihak yang telah menyebarkan maklumat palsu tersebut supaya memohon maaf kerana ia telah menjatuhkan reputasi kelab.
“Semua pihak, termasuk media semasa atau pihak wartawan agar lebih sensitif dalam memberi kenyataan supaya tidak cenderung ke arah menyebarkan maklumat palsu dan mencipta persepsi yang tidak baik kepada kelab,” kata KDA FC dalam kenyataan itu.
Terdahulu, skuad Hijau Kuning dikhabarkan bersedia untuk turun liga dengan bermain di saingan Liga A1 Semi-Pro kerana kedudukan kewangan kelab yang meruncing sehingga sering terlibat dalam isu tunggakan gaji.
Kedah seebelum ini berdepan masalah gaji hingga terdapat beberapa pemain meninggalkan kelab serta berlakunya tindakan boikot latihan skuad Sang Kenari. – MalaysiaGazette