IPOH – Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Tonggang, Hulu Kinta dekat sini, melahirkan rasa lega selepas liputan jaringan internet di kawasan perkampungan mereka dinaik taraf sejak tiga bulan lalu.
Projek berkenaan dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Kampung Orang Asli Sungai Tonggang.
Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), Rafiah Anjang, 40, berkata, liputan jaringan internet yang telah dinaik taraf telah memudahkan urusan harian penduduk setempat khususnya apabila ia melibatkan komunikasi dengan pihak luar.
“Sebagai guru, melalui inisiatif yang dinikmati ini, saya tidak perlu hadir secara fizikal ke mana-mana mesyuarat di luar, cukup sekadar saya hadir dan memberikan input diperlukan secara atas talian.
“Sebelum ini penduduk di sini memang sukar untuk mendapat liputan jaringan internet yang baik. Jika yang muda, mereka keluar dari rumah mencari kawasan tinggi, semata-mata untuk mendapat dapat liputan internet yang lebih baik,” katanya.
Rafiah berkata demikian ketika ditemui MG Perak selepas Majlis Peluncuran Kempen Advokasi MCMC bertemakan ‘From Roots to Routes: Boosting Economic Development and Social Empowerment for Orang Asli Sungai Tonggang’ di Kampung Orang Asli Sungai Tonggang, pada Khamis.
Terdahulu majlis dirasmikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta dihadiri Ketua Pegawai Sektor Hal-Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya; Pengarah Kanan MCMC Wilayah Utara, Izani Othman dan Pengarah Pejabat Negeri Perak, Mohd Irwan Mohamed.
Sementara itu, suri rumah, Yani Bahman, 30, memberitahu, inisiatif MCMC menaik taraf jaringan internet di kampungya memberi semangat baru buatnya dalam mencari pendapatan sampingan melalui pemasaran bergabung atau ‘affiliate’ pada aplikasi TikTok.
Katanya, lazimnya dia akan memperuntukkan masa kira-kira dua jam sehari untuk menjual pelbagai produk secara siaran langsung melalui aplikasi itu, namun ia terganggu sekiranya cuaca hujan.
“Sebelum ini saya menggunakan liputan internet melalui ‘hotspot’ daripada satu lagi telefon pintar saya, dan ia diletakkan di tempat yang agak tinggi.
“Kini, selepas jaringan internet di kampung saya ini telah dinaik taraf, saya merasa lega. Sambil duduk sahaja di rumah, saya sudah boleh bersiaran langsung,” katanya lagi.
Pada masa sama, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tanjung, Muhammad Fauzi Daniel Alang, 10, menzahirkan rasa gembira apabila liputan jaringan internet di Kampung Orang Asli Sungai Tonggang yang dinaik taraf memudahkan dia dalam menyiapkan kerja sekolah.
“Sebelum ini liputan internet agak lemah di sini, sehingga dalam kalangan kawan-kawan saya terpaksa mendaki bukit demi menyiapkan tugasan yang diberikan guru,” katanya.
Pelajar Sekolah Menengah (SKM) Tanjong Rambutan, Nor Tiara Darwina Rizal, 13 yang turut senada memberitahu, dia kini tidak lagi perlu keluar dari rumah demi semata-mata hendak menyiapkan kerja sekolah.
“Sebelum MCMC menaik taraf jaringan internet di sini, kami berhadapan dengan masalah liputan internet yang lemah, sehingga kerap terganggu dalam menyiapkan kerja sekolah.
“Sekarang semua menjadi mudah apabila dalam kawasan rumah pun sudah menerima liputan internet yang amat baik,” katanya.
Mengulas tentang sesi penyerahan beg sekolah, kedua-dua mereka berasa gembira dan seronok menerima sumbangan yang diserahkan sendiri oleh Fahmi.
Malah Nor Tiara Darwina memberitahu, sumbangan itu dapat meringankan beban keluarganya dalam membuat persiapan musim persekolahan dia tahun depan. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
TikTok beri jaminan jalin kerjasama dengan MCMC, Bank Negara