LONDON – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim tampil membuka suara berhubung kenyataan penyerang Marcus Rashford yang terbuka untuk meninggalkan kelab itu.
Amorim kelahiran Portugal berkata, ia kerana khidmat pemain berusia 27 tahun itu masih diperlukan oleh United.
Katanya, Rashford tidak perlu berpindah kelab untuk mendapat cabaran baharu dalam kariernya kerana dia perlu membawa kelab kembali ke zaman kegemilangannya sebagai satu cabaran besar untuknya.
“Marcus berkata dia sudah bersedia untuk cabaran baharu. Ya, memang betul apa yang dia cakap dimana kami ada cabaran baharu.
“Kami di Manchester United sedang menjalani cabaran baharu dan ini adalah cabaran besar. Kami juga memerlukan bakat terbaik dan dia (Rashford) adalah salah seorang bakat terbaik kami,” katanya pada sidang media menjelang kejohanan Piala Carabao awal pagi esok.
Semalam, Rashford sedia berdepan satu cabaran baharu apabila dikaitkan berpindah dari kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Ahad lalu, United menewaskan Manchester City 2-1 namun Rashford di samping Alejanro Garnacho diketepikan daripada kunjungan ke Etihad dengan Amorim menyatakan keputusannya adalah untuk mengekalkan pemainnya pada tahap tertinggi.
Ia menjurus kepada laporan media United mengintai peluang untuk menjual penyerang England itu yang berada di United sejak usia tujuh tahun dan pemain berusia 27 tahun itu bercakap mengenai subjek itu ketika melawat sekolah lamanya untuk menyampaikan hadiah Krismas. – Agensi