KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarah mendapatkan laporan terperinci daripada pihak berkuasa agama Islam negeri berhubung kematian seorang murid lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di Serdang, Rabu lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah itu bagi mencari pendekatan drastik secara bersama agar kejadian tersebut tidak berulang lagi.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan takziah kepada keluarga murid yang telah meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik sewaktu Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di sebuah sekolah di Serdang.
“Kejadian tersebut adalah amat mendukacitakan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan dilapor berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian membabitkan murid lelaki tahun enam itu kira-kira pukul 6.30 petang.
Katanya, seorang wanita tempatan berusia 36 tahun membuat laporan polis selepas menerima pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di kawasan Serdang sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 6.50 petang,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:-
Kanak-kanak 12 tahun maut disyaki terkena renjatan elektrik di sekolah