PUTRAJAYA – Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-Hailing Malaysia mendesak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mewujudkan kawalan harga lantai tambang e-hailing di negara ini.
Pengerusinya, Zulkifli Othman berkata, ini kerana kadar tambang sedia ada sangat rendah hingga memaksa pemandu e-hailing bekerja sehingga 12 jam sehari untuk memperoleh pendapatan yang munasabah.
“Kita harap isu kawalan harga tambang ini diberi perhatian khusus, kita minta sangat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke supaya kuat kuasakan serta-merta.
“Masa diberikan (memorandum) di Parlimen, tak nak masuk campur, bukan tak boleh masuk campur, penerangan yang diberikan, kalau kita tengok pada operator e-Hailing (EHO), adalah penerangan sama, menggunakan alasan harga dinamik dan alghoritm.
“Isu semua boleh ditetapkan, manusia yang buat, kita sudah pun berbincang dengan pelbagai pihak, sebenarnya perkara ini boleh dikuatkuasakan, ini memang tanggungjawab Menteri Pengangkutan.
“Kenapa dibiarkan operator e-hailing masuk dan memperhambakan rakyat sampai ke tahap macam itu, ini amat menyedihkan,” katanya kepada pemberita di lobi MOT, di sini, hari ini.
Terdahulu Zulkifli bersama kira-kira 30 pemandu e-hailing dari seluruh negara menyertai Piket Aman Sahabat E-Hailing Putrajaya 2.0 di tempat letak kereta kementerian itu.
Antara lapan tuntutan mereka ialah tambang minimum e-hailing hendaklah sekurang-kurangnya RM8 selepas komisen operator bagi kawasan Lembah Klang, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.
Mereka juga menuntut tambang minimum sebanyak RM7 selepas komisen operator bagi Perlis, Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
MOT digesa menguatkuasakan tambang bagi setiap kilometer untuk penghantaran melepasi jarak tambang minimum sebanyak RM1.50 per km selepas komisyen operator bagi Kawasan Lembah Klang, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.
Manakala bagi tambang RM1.25 per km selepas komisyen operator bagi kawasan Perlis, Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
NGO itu turut menuntut tambang dari pusat bandar ke KLIA sebanyak RM90 untuk kereta sedan selepas komisen operator.
Kadar Caj Perkhidmatan e-Hailing dari atau ke lapangan terbang negeri pula sebanyak RM20 selepas komisyen operator.
Kadar caj perkhidmatan tengah malam pula dengan bayaran tambahan 25 peratus selepas komisen operator, manakala kadar caj perkhidmatan ke pusat peranginan Genting Highland pula tambahan 50 peratus.
Jarak pengambilan penumpang percuma hendaklah tidak melebihi 3km dan kadar tambang selepas 3km hendaklah tidak kurang RM1 bagi setiap km.
Menurut Zulkifli , kesemua lapan tuntutan itu hendaklah dikuatkuasakan dengan kadar segera pada awal tahun depan.
“Menteri Pengangkutan hendaklah menguatkuasakan semua kadar tambang selewat-lewatnya 21 Januari 2025,” katanya. – MalaysiaGazette