KUALA TERENGGANU – Seorang pengurus ladang berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM205,983 lesap selepas diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, lelaki berusia 56 tahun itu telah menyertai pelaburan Goldencrimson yang diiklankan di laman sosial kerana tertarik dengan pulangan pelaburan tinggi.
Beliau berkata, mangsa telah membuat 12 transksasi ke lapan akaun bank yang berbeza sepanjang tempoh4 hingga 24 Nov lepas seperti diarahkan oleh suspek.
“Mangsa telah membuat pelaburan pertama sebanyak RM5,000 pada 4 Nov dan memperoleh pulangan sebanyak RM4,708.50.
“Mangsa yang teruja dengan keuntungan tersebut tanpa ragu membuat 12 kali pelaburan berjumlah RM205,983 dengan harapan mendapat pulangan lebih besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Wan Muhamad berkata, mangsa mula rasa tertipu apabila tidak menerima sebarang pulangan pelaburan seperti dijanjikan dan membuat laporan polis petang semalam.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan taktik penipuan yang pelbagai terutama di media sosial dan laman sesawang. – BERNAMA