SHAH ALAM – Seramai lapan individu terdiri daripada lima perempuan dan tiga lelaki disyaki pengikut ajaran ‘Tuhan Harun’ ditahan di sebuah premis di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, profil dan modus operandi kumpulan berkenaan didapati mempunyai persamaan dan kaitan rapat dengan ajaran tersebut.
“Beberapa penemuan dan elemen telah dapat dikenal pasti sebelum tindakan khas penguatkuasaan dilaksanakan pada 19 Disember 2024,” katanya menerusi kenyataan.
Jelas beliau, ketika serbuan pada jam 2.30 petang, JAIS turut menyita beberapa peranti seperti telefon bimbit, komputer riba, tablet dan dokumen yang mempunyai kaitan dengan ajaran tersebut.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu dakwaan palsu.
Sementara itu, kesemua individu mengaku tidak bersalah atas dakwaan berkenaan di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.
Mereka membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Syarie, Dr. Zainal Abidin Kusmi.
Mereka antaranya didakwa membuat hantaran menerusi aplikasi Telegram dengan membuat dakwaan palsu bahawa Harun adalah tuhan.
Pendakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 8 B dan Seksyen 46 B Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Zainal Abidin kemudian membenarkan jaminan secara lisan ke atas semua tertuduh dengan dua penjamin warga tempatan.
Bagaimanapun, prosiding hari ini terpaksa ditangguhkan kepada Isnin depan untuk sebutan semula pendakwaan dan jaminan semula.
Ajaran Tuhan Harun sebelum ini pernah dikesan aktif di sekitar Pahang. -MalaysiaGazette
















