KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya Peguam Negara (AG) yang juga Pendakwa Raya dilantik sebagai Ahli Parlimen seperti yang diamalkan di England sebagai langkah mengelakkan pendakwaan selepas pilihan raya.
Menurut Datuk Mohd Zaid Ibrahim, langkah itu akan dapat memastikan AG bertanggungjawab atas keputusan yang dilakukan Pejabat Pendakwa Raya.
Dalam masa yang sama katanya, pendakwa raya perlu bergerak berasingan dengan AG sebagai unit bebas.
“Begitulah cara yang diamalkan di England. Pejabat Pendakwa Raya seharusnya dikeluarkan daripada Jabatan Peguam Negara. Ia harus menjadi unit bebas dan dibiayai secara berasingan.
“Biarkan ia dikendalikan oleh peguam (kerajaan dan swasta) yang kenaikan pangkat dan keselamatan jawatannya tidak bergantung pada Peguam Negara,” katanya menerusi Facebook.
Pemisahan kuasa ini pernah disarankan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin bertahun-tahun dahulu
Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman harus dipisahkan seperti yang disarankan oleh Tun Ariffin Zakaria bertahun-tahun dahulu
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan terdapat kelemahan dalam beberapa kes pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa.
Ujarnya, ia kerana tindakan itu didorong oleh kebencian, permusuhan dan dendam politik oleh mereka yang berkuasa.
Mengulas lanjut Zaid memuji kenyataan berani Perdana Menteri itu.
“Tiada siapa yang menerima akibat ketidakadilan ini lebih teruk daripada Najib Razak. Histeria 1MDB (1Malaysia Development Berhad) yang tercetus menjelang pilihan raya telah melimpah ke pejabat pendakwa raya dan menyebabkan banyak keputusan yang merugikan terhadapnya.
“Perdana Menteri patut dipuji atas kenyataan jujurnya. Kini, beliau hanya perlu mengambil beberapa langkah mudah untuk mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” tambahnya.
Katanya lagi, perubahan sedemikian akan menamatkan zaman AG berdiam diri dan tidak bertanggungjawab kepada rakyat.
Malah, langkah ini akan menjadikan Anwar sebagai seorang reformis sebenar dan mungkin membawa kepada kemenangan pilihan raya semula. – MalaysiaGazette
Tak betul tu..kalau kepada parlimen…parti yg menguasai parlimen yg akan eksploit…lebih baik diletakkan di bawah Agong..tak pun Majlis Raja2..