KUALA LUMPUR – Resorts World Genting (RWG) memohon maaf susulan beberapa penumpang kereta kabel Sky Way terperangkap lebih dua jam di laluan turun dari Stesen SkyAvenue, Genting Highlands kelmarin.
RWG menerusi kenyataannya berkata, pihaknya memberi jaminan keselesaan dan keselamatan pengunjung tetap menjadi keutamaan mereka.
Oleh kerana itu, katanya, tindakan segera diambil dengan melaksanakan pelan luar jangka, termasuk menyediakan perkhidmatan ulang-alik di Terminal Genting Highlands Premium Outlets dan bayaran balik tiket.
“Bagi tetamu yang ingin mendapatkan bayaran balik menerusi (pulangan) tiket kereta kabel yang sah akibat kejadian ini, sila hubungi pasukan perkhidmatan pelanggan kami yang bersedia untuk membantu anda.
“Anda boleh hubungi kami di [email protected] Kami sangat menghargai sokongan anda dan dengan tulus ikhlas memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, beberapa penumpang kereta kabel Sky Way berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian tersebut.
Menerusi perkongsian beberapa pengguna TikTok yang berada di lokasi kejadian memaklumkan punca kereta kabel terkandas disebabkan masalah teknikal. – MalaysiaGazette