KUALA LUMPUR – Program Tarif Elektrik Hijau (GET) akan diteruskan bagi tahun 2025 dengan tawaran kuota sekurang-kurangnya 6,600GWj dengan kadar premium yang sama iaitu 10sen/kWj untuk pengguna voltan rendah dan 20sen/kWj bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi.
Selain itu, beberapa penambahbaikan turut diperkenalkan mulai tahun 2025 termasuk pembukaan langganan jangka masa panjang bagi membolehkan pengguna membuat langganan GET sehingga tahun 2027.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, penawaran baharu ini akan memberikan kepastian dalam perancangan langganan bekalan elektrik hijau oleh syarikat korporat dan industri.
Program GET yang diperkenalkan pada tahun 2021, merupakan antara inisiatif strategik kerajaan yang menawarkan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada pengguna elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon.
Sejak diperkenalkan, Program GET telah membekalkan secara kumulatif sebanyak 9,400 GWj bekalan elektrik hijau kepada melebihi 3,000 pengguna elektrik dalam pelbagai kategori dan membantu pengguna dalam memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) khususnya dari aspek penghindaran pelepasan gas rumah kaca melalui penggunaan tenaga elektrik hijau.
Berikutan sambutan yang menggalakkan dan pengiktirafan antarabangsa, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) bersama Suruhanjaya Tenaga telah meneliti semula pengoperasian dan prinsip asas langganan bagi mengekalkan keyakinan pengguna ke atas program GET.
Menurutnya, pengguna yang melanggan Program GET tahun 2024 tidak akan dikenakan caj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) untuk unit tenaga sebenar yang digunakan.
Selaras dengan dengan tuntutan umum komitmen ESG sebagaimana yang diperlukan oleh syarikat korporat, kerajaan telah memutuskan supaya pengguna yang melanggan Program GET tahun 2024 tidak akan dikenakan caj ICPT untuk unit tenaga sebenar yang digunakan dan tarif baharu GET bagi tahun 2024 ditetapkan pada kadar 10sen/kWj bagi pengguna kediaman dan pengguna bukan kediaman voltan rendah.
Langganan boleh dilakukan mulai 1 Mac 2025 melalui portal myTNB dan pengguna boleh melakukan langganan tarikh belakang (backdate subscription) untuk tempoh bermula 1 Januari 2025 dan langganan GET adalah sehingga 31 Disember.
Tambah kementerian, pembaharuan langganan GET adalah secara automatik berdasarkan tempoh langganan asal selepas tempoh yang dikenakan (lock in period) tamat sekiranya tiada pemberhentian langganan dilakukan oleh pengguna.
Selain itu, opsyen baharu tawaran langganan GET secara jangka panjang sehingga tahun 2027 disediakan dengan kadar premium yang lebih rendah iaitu untuk tempoh satu tahun dikenakan 10 sen.kWj untuk kediaman dan bukan kediaman voltan rendah manakala 9 sen kWj untuk dua tahun dan 8 sen/kWj bagi tiga tahun.
Untuk bukan kediaman voltan sederhana dan tinggi pula adalah 20 sen/kWj untuk setahun, 19 sen/kWj (dua tahun) dan 18 sen/kWj (tiga tahun).
Opsyen penamatan awal tempoh locked-in pengguna GET disediakan bagi langganan tahunan dan langganan jangka masa panjang dengan kos penamatan sebanyak 2sen/kWj akandikenakan terhadap baki langganan GET yang tidak dihabiskan, tambahnya. – MalaysiaGazette