KUALA LUMPUR- Tenaga Nasional Bhd. (TNB) tidak pernah merujuk atau memaklumkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sebelum mengumumkan kenaikan tarif elektrik di semenanjung Malaysia bermula Julai depan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan, kementerian itu dan Suruhanjaya Tenaga masih lagi dalam proses memuktamadkan jadual tarif elektrif baharu yang dijangka dilaksanakan bermula 1 Julai 2025.
Tambah beliau, kerajaan komited untuk melindungi pengguna kategori domestik dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) supaya tarif elektrik yang dikenakan adalah kompetitif dan mampu dibayar.
Selain itu, pemberian subsidi elektrik secara bersasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan akan diteruskan.
Ini akan memastikan 85 peratus pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj dan ke bawah tidak akan terkesan.
“Untuk makluman, tiada sebarang keputusan kenaikan tarif elektrik di Semenanjung yang telah dibuat sehingga kini. Seperti ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri, sebarang kenaikan yang boleh membebankan rakyat adalah tidak dibenarkan sama sekali.
“Berkait dengan perkara tersebut, ingin dijelaskan bahawa semakan terhadap tarif asas elektrik dilaksana disebabkan terdapatnya keperluan untuk meneliti semula harga bahan api, terutamanya arang batu dan gas.
https://malaysiagazette.com/2024/12/27/pm-tak-benarkan-tarif-naik-arah-tnb-beri-penjelasan/
“Dalam tempoh kawal selia ketiga (Regulatory Period 3 – RP3) (2022 – 2024), unjuran harga arang batu ditetapkan pada kadar AS$79/matrik tan dan harga gas ditetapkan melalui harga dua peringkat (two tier pricing) menggunakan formula Reference Market Price (RMP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, pada peringkat pertama bagi isi padu gas sehingga 800 juta kaki padu sehari (mmscfd), harga lantai ditetapkan pada kadar RM24/MMBtu dan harga siling jualan gas ditetapkan pada kadar RM30/MMBtu.
Manakala, harga purata bagi penggunaan gas melebihi 800 mmscfd diunjurkan pada kadar RM33/MMBtu.
Namun menurut beliau, pasca COVID-19 dan krisis tenaga global, harga bahan api telah meningkat secara mendadak yang mana harga arang batu bagi tempoh kawal selia keempat (RP4) (2025 – 2027) diunjurkan pada kadar AS$97/matrik tan dan penggunaan gas bulanan sehingga 800 juta kaki padu sehari (mmscfd) akan dikenakan harga lantai RM24/MMBtu dan harga siling RM35/MMBtu.
Manakala, harga purata bagi penggunaan gas melebihi 800 mmscfd diunjurkan pada kadar RM46/MMBtu.
Menurut Fadillah, pengguna kategori komersial dan industri yang menggunakan elektrik yang banyak serta mencatatkan keuntungan yang tinggi perlu membayar kos elektrik mereka pada kadar yang sebenar.
Namun, pengguna kategori ini mempunyai alternatif di mana Kerajaan menggalakkan mereka memasang solar dan bateri penyimpanan tenaga di premis masing-masing.
Mereka juga digalakkan untuk mempraktikkan inisiatif kecekapan tenaga seperti melaksanakan audit tenaga secara kolaborasi dengan Syarikat Perkhidmatan Tenaga – Energy Service Company (ESCO) dan melaksanakan program inisiatif kecekapan tenaga bagi mengenal pasti potensi penjimatan tenaga elektrik di pepasangan dan premis mereka.
“Kerajaan memberi jaminan bahawa penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Dalam hal ini, sebarang pengumuman berhubung penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan dikeluarkan oleh Kerajaan,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN