MELAKA – Seluruh warga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melahirkan rasa dukacita atas kematian dua pelajar, Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan yang terlibat dalam nahas kemalangan di Kilometer (KM) 187.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara semalam.
Kemalangan tersebut turut melibatkan dua orang lagi pelajar iaitu Nur Hanis Suraya Supiyan dan Azwalidiya Azman dan mereka mendapat kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Melaka.
Kejadian itu difahamkan berpunca daripada kereta yang dinaiki dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang di Kilometer (KM) 187.6 Lebuhraya Utara Selatan.
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, pihak pengurusan dan seluruh warga UTeM berdukacita menerima perkhabaran ini dan mengucapkan salam takziah kepada ibu bapa dan ahli keluarga pelajar terbabit.
Jelasnya, pihak UTeM telah mula bertindak menguruskan urusan berkaitan sejurus selepas mendapat maklumat berita kemalangan berkenaan sejak awal pagi tadi.
“Sehingga petang ini pihak UTeM sedang bertungkus lumus menguruskan kedua-dua jenazah pelajar di Hospital Jasin yang perlu melalui proses post mortem terlebih dahulu.
“Selepas selesai urusan di Hospital Jasin maka pihak UTeM akan menggerakkan proses penghantaran kedua-dua jenazah pelajar ke kampung halaman mereka di Muadzam Shah, Pahang dan Gemencheh, Negeri Sembilan bagi urusan pengkebumian di sana,” katanya dalam kenyataan.
UTeM bersimpati dengan kejadian yang telah menimpa dan pada masa yang sama pihak UTeM juga sedang menguruskan pampasan insurans kematian dan sumbangan dari Tabung Khairat Pelajar UTeM kepada keluarga pelajar yang telah meninggal dunia. – MalaysiaGazette