PUTRAJAYA – Buat pertama kali dalam sejarah, komuniti orang pekak di seluruh dunia kini boleh menghayati serta mempelajari bacaan al-Quran secara tepat dan betul melalui aplikasi Tebyan Quran.
Golongan orang pekak boleh melayari aplikasi itu secara percuma dan diwujudkan secara berperingkat sejak dua tahun lalu oleh Liajlehum Association of Disability yang berpangkalan di Arab Saudi.
Pada masa ini, aplikasi Tebyan Quran sudah menjangkau lebih sembilan juzuk dan proses menyiapkan sepenuhnya sedang giat dijalankan.
Yang menarik, dalam aplikasi itu, golongan orang pekak turut diberi panduan melalui video oleh jurubahasa isyarat.
Ketua Pegawai Eksekutif Liajlehum Association of Disability, Putera Faisal Abdulrahman Nasser Farhan Al Saud memberitahu, usaha menyiapkan aplikasi Tebyan Quran itu perlu dilakukan secara teliti dan berhati-hati.
Jelasnya, usaha melengkapkan bacaan al-Quran sebanyak 30 juzuk kini giat dilakuikan dengan memastikan tidak ada sebarang kecacatan mahupun kesilapan.
”Pada masa ini aplikasi Tebyan Quran khusus untuk orang pekak sudah siap lebih sembilan juzuk dan ia boleh dilayari secara percuma.
”Dalam aplikasi itu disertakan panduan video jurubahasa isyarat bagi membolehkan komuniti orang pekak mempelajari al-Quran dengan betul,” katanya ketika diwawancara pada program Capacity Building Workshop 2.0 di sini baru-baru ini.
Program dari 26 hingga 29 Disember itu anjuran Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dengan kerjasama beberapa persatuan dan pertubuhan termasuk Persekutuan Global Deaf Muslim (GDMF) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Putera Faisal menambah, pada masa ini, video jurubahasa isyarat dalam Tebyan Quran itu menggunakan bahasa Arab.
”Kita dalam proses dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan video bahasa isyarat menggunakan bahasa-bahasa lain termasuk Inggeris, Rusia, Cina dan sebagainya.
”Ini termasuk pada masa depan penggunaan bahasa Melayu yang kelak amat berguna untuk komuniti orang pekak di Malaysia,” katanya.
Putera Faisal berkata, langkah mewujudkan aplikasi Tebyan Quran itu berikutan kajian mendapati golongan orang pekak mahu dan berminat mempelajari al-Quran secara betul.
Malah beliau memberitahu, di Arab Saudi sahaja terdapat lebih 500,000 orang pekak di negara berkenaan.
”Inilah masanya untuk kami berkongsi ilmu mempelajari dan membaca al-Quran dengan betul bersama orang pekak di seluruh dunia,” katanya. – MalaysiaGazette