KUALA LUMPUR – Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza yang ditahan polis di Sabah bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 telah dibebaskan dan sudah pulang ke Kuala Lumpur petang semalam.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton kepada media hari ini, seperti dilaporkan portal Sabah Media.
Terdahulu, Fahmi Reza ditahan Isnin lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Sabah selepas beliau hadir untuk memberi keterangan berkait siasatan ke atas karyanya yang melibatkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.
Tindakan itu diambil susulan lebih 30 laporan polis termasuk mengenai poster karikatur yang didakwa menghina Tun Musa Aman.
Kes melibatkan beliau disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Bagaimanapun penahanan Fahmi Reza mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan hak asasi seperti BERSIH dan Aliran yang menyifatkannya satu bentuk sekatan ke atas hak bersuara.
Selain itu, Angkatan Muda Keadilan turut mendesak Fahmi Reza dibebaskan segera kerana mendakwa bertentangan dengan nilai-nilai kebebasan yang diperjuangakan Kerajaan Madani. – MalaysiaGazette
















