Suspek pengarah urusan di sebuah syarikat swasta di Selangor direman selama enam hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah kononnya bagi mendapatkan gelaran Datuk Seri dari sebuah negeri kira-kira dua tahun lalu Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini selepas mendapat permohonan SPRM.

MELAKA – Pengarah urusan sebuah syarikat swasta di Selangor direman di sini hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah kononnya bagi mendapatkan gelaran Datuk Seri dari sebuah negeri kira-kira dua tahun lalu.

Perintah reman terhadap lelaki berumur 62 tahun itu sehingga 6 Januari ini dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar S.R Arthana di Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mendapat permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Terdahulu, suspek yang berpakaian baju lokap SPRM berwarna jingga tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan khas SPRM.

Menurut sumber, suspek ditahan SPRM kira-kira 5.35 petang semalam di Pejabat SPRM Melaka bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Sumber berkata, suspek disiasat berhubung permintaan dan penerimaan wang rasuah berjumlah lebih RM375,000 daripada seorang individu bagi mendapatkan gelaran Datuk Seri yang dilakukan secara bersindiket.

Sebelum ini, media melaporkan dua orang pengurus syarikat swasta di Selangor juga ditahan berhubung isu sama.

Seksyen 16(a)(A) memperuntukkan hukuman denda didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast