KUALA LUMPUR – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, Johor terus memperkukuh peranannya dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan menawarkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Multimedia Kreatif dengan Pendidikan dengan Kepujian (BBT).
Program yang dijangka akan ditawarkan kepada pelajar bermula semester satu bagi sesi akademik 2025/2026 itu direka untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang berdaya saing, selaras dengan keperluan pasaran kerja dan industri global.
Program BBT merupakan program TVET pertama dalam kalangan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang dibangunkan berdasarkan piawaian Code of Practice for TVET Programme Accreditation (COPTPA).
COPTPA adalah panduan khusus untuk program TVET, berbeza dengan Code of Practice for Programme Accreditation (COPPA) yang memberi fokus kepada program akademik.
Menurut Ketua Program BBT, Prof Madya Ts. Dr. Marlina Mohamad, program itu direka untuk memberikan pelajar pengalaman pembelajaran yang holistik.
Pendekatan Work-Based Learning (WBL) yang diterapkan membolehkan pelajar menjalani latihan industri selama satu tahun sekali gus memberikan mereka peluang untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam dunia kerja sebenar, terutamanya untuk sektor teknologi multimedia kreatif dan pendidikan.
Tambah beliau, program itu dibangunkan dengan penuh komitmen melalui penglibatan pelbagai pemegang taruh seperti pakar dari industri multimedia kreatif dan industri pendidikan, alumni serta majikan.
“Usaha ini bertujuan memastikan program ini mampu memenuhi keperluan pasaran kerja yang semakin kompetitif serta sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 yang menuntut kemahiran kreatif, inovatif dan pemikiran kritikal.
“Melalui penglibatan ini, program BBT dapat dirangka untuk memberi impak positif kepada pembangunan modal insan dan memenuhi permintaan industri global,” katanya dalam kenyataan.
FPTV turut menyokong pelaksanaan Dasar TVET Negara 2030 yang menggariskan hala tuju strategik dalam memperkukuh pembangunan bakat dan modal insan negara.
Selaras dengan dasar itu, FPTV memberi tumpuan khusus kepada teras strategik ‘Kualiti dan Laluan Pendidikan Bertaraf Dunia’ dengan memastikan program BBT dirangka untuk memberi pendidikan berkualiti tinggi dan laluan pendidikan yang jelas kepada pelajar.
“Graduan program ini bukan sahaja dijangka menikmati prospek pekerjaan dengan pendapatan lumayan tetapi juga menjadi pemacu kepada transformasi sektor teknologi multimedia kreatif negara.
“Program BBT menjadi bukti kesungguhan fakulti dalam menyokong aspirasi kerajaan dan menjadikan TVET sebagai pilihan utama kerjaya masa depan,” kata Marlina.
UTHM melalui FPTV terus komited untuk menjadi peneraju transformasi pendidikan TVET di Malaysia dengan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, inovatif dan kreatif. – MalaysiaGazette
Jadi nak pergi sekolah jd cikgu subjek apa???