KUANTAN – Semua hukuman jenayah, termasuk hukuman sebat di khalayak ramai, adalah untuk mewujudkan rasa ‘zajrun’ atau gerun pada masyarakat agar terhindar daripada melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang.
Mufti Pahang, Datuk Profesor Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai sepatutnya tidak mengaibkan pesalah.
Katanya, ia merupakan hukuman yang dibenarkan syarak bagi pemerintah melaksanakannya.
”Hukuman kesalahan jenayah di Malaysia, kesemuanya berbentuk takzir. Keharusan takzir, berkait juga sama ada menjalankan sesuatu hukuman secara tertutup, atau terbuka.
”Saya kira perlaksanaannya di Terengganu telah melalui proses yang panjang di peringkat penggubalan melihat hujah-hujah dan kelulusan Jawatankuasa Fatwa Terengganu, diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mendapat perkenan KDMM Tuanku Sultan Terengganu,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Pada 27 Disember lalu, seorang tukang rumah, Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.
Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail memutuskan hukuman itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan dan pelaksanaan sebat dilakukan di luar penjara memandangkan ia adalah kesalahan ketiga dilakukan lelaki berkenaan.
Hukuman itu diputuskan pada 20 November lalu setelah lelaki itu mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Pesalah khalwat berulang itu selasai menjalani hukuman enam sebatan terbuka itu dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah pada jam 3 petang Jumaat lalu oleh Pegawai Penjara Marang dalam tempoh dua minit.
Jelas Dr. Asmadi, keputusan tersebut dipilih kerana kerajaan Terengganu merasakan ia keputusan yang sesuai untuk dilaksanakan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Sebat: Tidak timbul isu Islamophobia – Ketua Hakim Syarie
Hukuman sebat pesalah khalwat berulang berjalan lancar
Sebat: Terengganu harap jadi model negeri lain