KUALA LUMPUR – Anak sulung Najib, Datuk Muhammad Nizar mengulangi kenyataannya bahawa titah adendum yang didakwa dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bapanya, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah memang wujud.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang itu berkata, kewujudan titah adendum itu bukan cerita dongeng atau karut di mana ada implikasi besar sekiranya beliau menipu tentang titah tersebut.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya itu, ia selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ketika itu telah mengirim satu surat kepada bekas Peguam Negara di mana baginda menitahkan Najib layak mendapat tahanan di rumah selain pengurangan hukuman penjara.
“Malah dalam afidavit saya sebelum ini, Sultan Pahang telah mengesahkan telah mengirimkan surat itu kepada Peguam Negara di satu majlis Kompleks Kraftangan Tuanku Azizah, saya telah dititah mengadap dan tuanku sendiri memberitahu bahawa telah perkenan salinan titah adendum tersebut.
“Saya telah menulis bagi pihak keluarga menjunjung kasih memohon izin salinan titah adendum itu dan diberikan dua minggu kemudian dalam bulan Ogos lalu di istana oleh Datuk Seri Pengelola Bijaya di Hotel Hyatt Kuantan dan salinan titah adendum tersebut dan memang jelas surat itu arahan titah untuk memberi tahanan rumah,” katanya pada program Demi Najib 2.0 di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Muhammad Nizar menegaskan, sebagai ADUN dan Exco Pahang, dakwaan itu akan memberi kesan besar ke atas dirinya sekiranya dakwaan titah adendum itu palsu.
Jelas beliau, ia bermakna beliau telah memfitnah Sultan Pahang namun tidak sanggup berbuat demikian kepada baginda.
“Saya berani kerana benar,” tegasnya.
Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan bagi pendengaran rayuan Najib yang juga bekas Perdana Menteri berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan titah addendum.
Jabatan Peguam Negara berkata, tarikh itu juga untuk Najib mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum itu.
Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Najib sedang merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan titah addendum tersebut.
Mahkamah memutuskan empat afidavit bagi menyokong permohonannya, termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersifat dengar cakap atau khabar angin.
Najib memohon perintah mandamus bagi memaksa, sama ada semua atau satu daripada responden, menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan itu yang bertarikh 29 Januari 2024.
Ia dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah. – MalaysiaGazette
kami rakyat Malaysia menjunjung kasih tuanku dan menyokong titah.