KEADAAN kolam takungan air yang pecah yang menyebabkan kediaman penduduk di Taman Seri Alam dan Saujana Perdana, Sungai Buloh, Selangor dilanda banjir kilat malam tadi. – Foto: FB Dato’ Dr Halim Tamuri

KUALA LUMPUR – Penduduk Taman Seri Alam dan Saujana Perdana, Sungai Buloh dekat sini mempertimbangkan kemungkinan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang bertanggungjawab ekoran insiden takungan air pecah yang menyebabkan kediaman mereka dilanda banjir kilat semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, perkara itu antara yang dibangkitkan ketika pertemuannya dengan penduduk terlibat sejurus insiden tersebut.

ADUN Paya Jaras, , Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri ketika mengadakan pertemuan dengan penduduk Taman Seri Alam dan Saujana Perdana, Sungai Buloh, Selangor, malam tadi. – – Foto: FB Dato’ Dr Halim Tamuri

Selain itu, tambah Pesuruhjaya Pas Selangor itu, penduduk terlibat turut membangkitkan berkenaan langkah untuk menuntut ganti rugi atas kerosakan yang dialami mereka.

Menurutnya, penduduk juga mendesak tindakan segera oleh pemaju untuk membaiki kolam takungan yang pecah bagi mengelak kejadian berulang serta memastikan pemantauan rapi daripada pihak berkuasa sepanjang proses pembaikan dijalankan.

Dalam masa sama  pihaknya akan mengemukakan permohonan bantuan bencana kepada Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membantu penduduk yang terjejas.

Tindakan susulan lain, jelas beliau, termasuk memberi perhatian khusus kepada keselamatan dan kesihatan penduduk meliputi pencegahan penyakit yang berpotensi timbul akibat banjir.

KEADAAN salah sebuah rumah penduduk di Taman Seri Alam dan Saujana Perdana, Sungai Buloh, Selangor yang terjejas akibat insiden kolam takungan air yang pecah petang semalam. – Foto: FB Dato’ Dr Halim Tamuri

“Langkah-langkah ini diharapkan dapat membantu menyelesaikan isu ini dengan segera dan melindungi kesejahteraan penduduk yang terkesan.

“Kolam takungan Hillpark telah pecah selepas hujan lebat dan menyebabkan Taman Seri Alam banjir yang dahsyat seperti dilanda tsunami.

“Pihak bertanggungjawab perlu ambil serius perkara ini kerana ianya melibatkan nyawa, harta benda, dan kesejahteraan penduduk.,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar memaklumkan, sebuah kolam takungan bersebelahan Taman Seri Alam, Saujana Utama, Sungai Buloh pecah dan menjadi punca limpahan air keluar ke kawasan perumahan.

Kata beliau, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.15 petang semalam dan usaha memindahkan penduduk terjejas segera dilakukan dengan kerjasama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama.

Difahamkan, ini merupakan kali kedua kejadian seumpama itu berlaku sejak 2015. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dinding kolam takungan pecah, Taman Seri Alam banjir

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast