KUALA LMPUR – Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mendapati ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem adalah sesat dan menyelewng daripada akidah Islamiah, syariah dan akhlak.
Selain itu, jawatankuasa tersebut mendapati ajaran berkenaan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pengerusinya, Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, pihaknya membincangkan mengenai ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem ketika bersidang pada 24 hingga 26 September lalu.
“Berdasarkan hujah-hujah an fakta fakta yang telah dikemukakan oleh penyelidik melalui kajian serta dapatan yang telah dilakukan terhadap kandungan ceramah, pengajaran, ucapan dan dialog yang disampaikan melalui media digital, Muzakarah telah yakin dan berpuas hati ajaran yang dibawa oleh Mhd Mohib Khouli adalah sesat dan menyeleweng daripada akidah Islamiah, syariah dan akhlak serta bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Nooh, terdapat lapan ciri penyelewengan dalam ajaran tersebut iaitu mendakwa bahawa Allah SWT harus mempunyai anak, mendakwa Allah SWT seolah-olah mempunyai sifat dan jisim yang sama seperti makhluk dan menyesatkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpegang kepada manhaj al-Asyairah dan al-Maturidiah dalam mentakwil ayat sifat Allah SWT seperti Istiwa, Wajh, Yad dan seumpamanya sebagai sesat sebagaimana ajaran Muktazilah dan Jamiyyah.
Selain itu, ajaran tersebut turut mendakwa akidah al-Asyairah telah terkeluar daripada ajaran agama Islam sebenar, mendakwa akidah para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti Imam Abu al-Hasan al-Ashaari, Imam al-Syahrastani, Imam al-Ghazali, Imam Fakhruddin al-Razi, Imam Izzuddin Ibn Abd al-Salam dan Imam al-Nawawi mempunyai pegangan yang sama dengan akidah golongan Jahmiyyah yang sesat, ujarnya.
Beliau berkata, ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem mendakwa Imam Abu Hanifah mati dalam keadaan kekufuran dan mendakwa adalah tidak sah solat di belakang imam yang berpegang dengan akidah al-Asyairah. Sekiranya solat Jumaat di belakang imam yang bermazhab al-Asyairah maka solatnya hendaklah diulang dengan solat Zohur.
Nooh berkata, umat Islam hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman ajaran tersebut selain dilarang berpegang padanya, mempercayai, mengajar, menyebar, mengamal atau menjadi pengikut atau ejennya dan sekiranya mereka melakukan perkara tersebut mereka perlu bertaubat dengan taubat nasuha.
Tambah beliau, tiada seorang pun boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebar, mengedar, menggantung atau menerbitkan poster, buku, majalah, risalah atap apa-apa bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa bentuk keluaran atau ulangannya.
Menurut beliau, ia meliputi filem, audio visual, rakaman, laman sesawang, media cetak atau media elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran, pegangan dan fahaman ajaran terbabit.
“Umat Islam hendaklah berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari aspek akidah berdasarkan manhaj Asyairah dan Maturidiah, dari segi syariah berpandukan mazhab Shafie serta mazhab muktabar yang lain seperti Hanafi, Maliki dan Hanbali.
“Manakala dari segi tasawuf/akhlak berpandukan manhaj Imam al-Junaid, Imam al-Ghazali serta aliran tasawuf yang sahih dan muktabar,” ujarnya.
Menurut Nooh, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai badan penyelaras telah menyembah maklum pandangan hukum tersebut kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah selaku Pengerusi MKI dan seterusnya ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-267 pada 23 dan 24 Oktober lalu.
Katanya, Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri-negeri boleh mempertimbangkan keputusan itu bagi tujuan perwataan fakwa di negeri masing-masing. – Malaysiagazette