KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak supaya aktivis yang juga pereka grafik, Fahmi Reza yang kini ditahan polis di Sabah, dibebaskan segera.
Ketua Biro Guaman dan Undang-Undang AMK, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, penahanan Fahmi Reza itu tidak selari dengan prinsip dan nilai yang diamalkan di bawah Kerajaan Madani.
Malah, ujar beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sebelum ini pernah menyatakan tidak bersetuju sekiranya Fahmi Reza ditahan atau didakwa susulan karyanya berkait pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.
“Walaupun ada pihak yang tidak bersetuju dengan mesej yang dibawa oleh saudara Fahmi Reza melalui karya satiranya, namun AMK Malaysia berpendirian bahawa kritikan melalui karya seni seperti satira tidak boleh dianggap sebagai satu jenayah.
“Kebebasan bersuara dan berekspresi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan hendaklah sentiasa dilindungi selagi mana ia tidak menyebabkan sebarang ketidaktenteraman awam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, AMK juga juga sedia memberikan bantuan guaman untuk membantu Fahmi Reza.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan tidak bersetuju sekiranya Fahmi Reza ditangkap atau didakwa kerana beliau tidak percaya setiap kritikan terhadap kerajaan perlu disiasat jika ia tidak keterlaluan hingga menyentuh aspek raja, agama dan kaum (3R).
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun hari ini mengesahkan polis menahan Fahmi Reza di Ibu Pejabat Polis Penampang malam tadi, bagi membantu siasatan kes di bawah Akta Hasutan 1948.
Terdahulu, Jauteh dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah berkata, lebih 30 laporan polis diterima di negeri itu terhadap aktivis berkenaan melibatkan perbuatan menghasut.
Jelasnnya, polis menerima laporan Fahmi Reza antara lain menampal karikatur melibatkan imej Tun Musa Aman yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11, di beberapa kawasan antaranya di Kota Kinabalu dan perkara lain melibatkan hasutan turut disiasat. – MalaysiaGazette
bebaskan dsnr segera. negara sedang tenat