KUALA LUMPUR – Jalan Masjid India, yang sebelum ini ditutup berikutan insiden lubang benam pada 23 Ogos lalu, kini kembali dibuka untuk orang ramai selepas kerja-kerja pemulihan selesai sepenuhnya.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, projek pemulihan yang dijadualkan siap pada Februari 2025 diselesaikan lebih awal daripada jangkaan.
Susulan itu, satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi membincangkan penyediaan Laporan Akhir Insiden Lubang Benam serta menilai keselamatan struktur tanah dan menyelaras tindakan pelbagai agensi.
“Pasukan Khas yang dibentuk telah bermesyuarat lebih daripada lima kali secara fizikal dan maya, dan yang terakhir pada 18 Disember lalu bagi membincangkan penyediaan Laporan Akhir Insiden Lubang Benam.
“Antara agensi luar yang terbabit adalah Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya (Cawangan Kejuruteraan Geoteknik), Institusi Jurutera Malaysia serta Pertubuhan Geoteknikal Malaysia.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membuat penelitian terhadap keseluruhan isi kandungan laporan dan akan dikemukakan kepada Kabinet pada awal 2025 sebelum disahkan untuk disiarkan kepada umum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Masjid India, di sini, hari ini.
Menurut Maimunah, sepanjang tempoh pemulihan, pelbagai langkah terperinci telah dilaksanakan, termasuk pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur tanah di kawasan berkenaan.
Tambah beliau, sebanyak empat ujian dilakukan untuk mengenal pasti profil tanah di kawasan berkenaan, dan hasilnya akan dimasukkan ke dalam laporan akhir.
Maimunah berkata, beberapa kerja turut dilaksanakan termasuk baik pulih saluran kumbahan yang rosak oleh Indah Water Konsortium (IWK), kerja pembaikan kemasan siar kaki di lokasi kejadian yang rosak, serta pembaikan dan naik taraf saluran longkang di kawasan sekitar Wisma Melayu dan Jalan Masjid India yang dilakukan oleh DBKL.
Selain itu, DBKL turut melakukan pemantauan secara visual di kawasan sekitar insiden secara berkala.
“Pemeriksaan seumpama ini akan terus dijalankan oleh DBKL bersama pihak syarikat utiliti dari semasa ke semasa, bukan hanya di Jalan Masjid India, malahan meliputi seluruh bandar Kuala Lumpur bagi menjamin keselamatan warga Kuala Lumpur.
“Peruntukan RM10 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada DBKL untuk tahun 2025 akan digunakan untuk melaksanakan kajian geoteknikal dan pengesanan utiliti di kawasan pusat perniagaan bandar bagi mencegah kejadian yang sama daripada berulang,” ujarnya.
Jelasnya, DBKL bertekad menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang selamat, mampan, dan selesa.
Sehungan itu, orang ramai yang mengesan tanda-tanda mendapan atau kewujudan lubang benam diminta membuat aduan melalui portal Adu@KL atau menghubungi talian kecemasan di talian 03-40106337. – MalaysiaGazette