KUALA LUMPUR – Lapan suspek termasuk seorang wanita ditahan dipercayai terlibat dalam empat kes pecah pejabat dan mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang sejaktiga
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 17 hingga 41 tahun dalam beberapa siri serbuan sejak 17 Disember hingga semalam di sekitar Lembah Klang.
“Pada 14 Disember lalu, kita telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga pengarah syarikat berhubung kes pecah masuk pejabat di Kampung Baru Ampang, di sini.
“Menurut pengadu, seorang pekerjanya telah menyedari kejadian itu jam 7.30 pagi apabila mendapati tombol pintu pejabat sudah diumpil dan berada dalam keadaan berselerak.
“Pemeriksaan mendapati, antara barang hilang iaitu pelbagai jenis komputer riba, telefon bimbit, kamera, topi kaledar, wang tunai RM90,00 dan pelbagai jenis mata wang dengan jumlah keseluruhan kerugian kira-kira RM150,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, susulan tangkapan suspek, polis telah merampas kesemua barang yang dicuri bersama sebuah motosikal bagi membantu siasatan.
“Semakan lanjut, tujuh suspek mempunyai dua hingga 24 rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan dadah termasuk rekod ‘masih dikehendaki’ polis manakala seorang lagi suspek tiada rekod lampau.
“Modus operandi kumpulan ini adalah melakukan perbuatan jenayah pada awal pagi dan menyasarkan premis serta kenderaan yang diletakkan diluar kawasan rumah,” jelasnya.
Bagaimanapun, Mohd Azam menambah, lima suspek telah dibebaskan setelah siasatan selesai dan baki tiga lagi suspek direman sejak semalam hingga 6 Januari bagi siasatan dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















