Antara pasangan daripada 13 individu berusia antara 21 hingga 60 tahun yang ditahan dalam operasi awal pagi tadi.

MELAKA – Seorang lelaki berusia 60 tahun memberi alasan terlalu penat melihat pertunjukkan bunga api sempena Tahun Baharu 2025 malam tadi sehingga terpaksa tidur sebilik dengan seorang tukang urut wanita di sebuah hotel di sini awal pagi tadi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, itu alasan seorang warga emas itu yang sudah berkahwin ditahan bersama wanita warga Thailand berusia 42 tahun dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah bermula 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi tadi.

“Ketika diperiksa, lelaki berasal dari Melaka itu mengaku berkenalan dengan wanita warga Thailand itu yang bekerja sebagai tukang urut di sebuah pusat urut di pusat bandar ini.

“Dia memberi alasan terpaksa menginap bersama di hotel berkenaan kerana terlalu penat untuk pulang ke rumah masing-masing selepas melihat pertunjukan bunga api ambang Tahun Baharu 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rahmad, pasangan itu adalah antara 13 individu iaitu tujuh lelaki dan enam wanita berusia 21 hingga 60 tahun yang ditahan dalam operasi yang sama.

Tambah beliau, operasi melibatkan kekuatan 42 pegawai penguat kuasa agama yang memeriksa 17 buah hotel sekitar Bandaraya Melaka dan Alor Gajah berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan.

“Turut ditahan adalah seorang wanita bukan beragama Islam untuk dijadikan sebagai saksi kes. Kesemua pasangan ditahan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1992 iaitu bagi kesalahan bersekediaman,” tambahnya.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast