ISKANDAR PUTERI – Tahun baharu 2025 menjadi detik bermakna buat 10 pasangan suami isteri yang menyambut kelahiran cahaya mata mereka di Columbia Asia Hospital, di sini, semalam.
Pegawai Bank, Nur Fatin Adam, 33, dan suaminya, Muhammad Nazirul Md Yusof, 33, menjadi pasangan pertama menyambut bayi pada tahun ini di hospital berkenaan.
“Alhamdulillah syukur, isteri saya selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.04 kilogram (kg) yang dilahirkan tepat pukul 3.03 pagi, pada tahun baharu.
“Kami bersyukur dengan kelahiran ini dan bertuah kerana dapat meraikan ulang tahun kelahirannya pada tarikh istimewa setiap tahun,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, suri rumah, Teo Shi Han, 26, gembira dapat menyambut kelahiran anak pertama pada pukul 2.17 petang.
Katanya bayi lelaki seberat 2.81kg itu dilahirkan dalam keadaan sihat.
“Kami amat berterima kasih kepada doktor dan jururawat atas layanan mesra dan perkhidmatan terbaik sepanjang proses ini,” kata suaminya, Tan Choon Guan, 37, yang bekerja sebagai Operator Kren dari Taman Laman Setia, Gelang Patah.
Perasaan sama dikongsi pasangan dari Medini, Siti Nur Shahila Shamsuddin, 28, dan suaminya, Burhan Hakeem Abdullah, 28, dengan kelahiran anak perempuan pertama mereka pukul 5.41 petang.
“Bayi ini menjadi anugerah istimewa sempena tahun baharu. Bayi kami lahir seberat 2.86kg dan disambut penuh rasa syukur,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif hospital berkenaan, Dr Ding Eng Li berkata, pihak hospital berbangga dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pasangan yang menyambut kelahiran tahun baru.
“Kehadiran bayi pada tahun baru ini bukan sahaja memberi sinar kegembiraan kepada keluarga, tetapi juga menambah seri kepada sambutan awal tahun di hospital ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette