Riana Fitriasih menunjukkan gambar kenangan Nur Aqifah Humaira sambil memeluk patung kegemaran mangsa.

NIBONG TEBAL – “Anak bongsu saya itu suka sangat main secara ekstrem, bahayakan diri meskipun beratus kali dilarang tapi dia tetap mahu mencuba sehingga kejadian hari ini (semalam) yang meragut nyawanya,”.

Demikian kata Riana Fitriasih Kusnan, 38, ibu kepada Nur Aqifah Humaira Abdullah,6, yang maut selepas dipercayai tersepit celah besi sebuah meja lipat plastik dalam kejadian di Taman Seri Putera di sini, semalam.

Riana Fitriasih yang merupakan warga Indonesia berkata, ketika kejadian dia bersama dua lagi anaknya berada di rumah sebelum dikejutkan dengan jeritan anak sulungnya yang memaklumkan anak bongsu daripada tiga beradik itu ditemui dalam keadaan tidak sedar diri serta tersepit celah besi meja lipat di bahagian belakang rumah mereka.

“Saya serta anak sulung berusia 10 tahun mengeluarkan mangsa daripada celahan besi meja itu sebelum mendapatkan bantuan jiran membawanya ke Hospital Parit Buntar, Perak untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, pihak hospital memaklumkan anak perempuan saya itu meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Meja tersebut tidak digunakan keluarga berkenaan sebelum ini dan disimpan di bahagian belakang rumah.

Mengulas lanjut ibu tunggal itu berkata, tiada sebarang perubahan ditunjukkan kanak-kanak itu dan kehilangannya amat dirasai memandangkan keberadaan dia yang menceriakan suasana rumah tersebut.

“Suami telah meninggal dunia dan kami empat beranak tinggal di sini sejak dua bulan lalu…setiap hari mesti ada saja celoteh anak bongsu yang mana adakalanya membuatkan saya marah kerana kelakuannya itu membahayakan diri.

“Malah sebagai tukang cuci rumah sambilan saya tidak pernah tinggalkan dia sendiri kerana takut sesuatu menimpa disebabkan tindakannya yang suka mencuba sesuatu yang ekstrem.

“Saya reda dengan kehilangannya namun tidak sangka tindakannya yang sering saya larang itu meragut nyawanya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Budak enam tahun maut tersepit celah besi meja lipat

Tambah Riana Fitriasih, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Tok Mahat di sini, sebaik selesai proses bedah siasat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here