KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan kurang dari 24 jam selepas disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan berhampiran Wisma Doktor Haq Wasa, Kuala Terengganu pada 31 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, dua lelaki berusia 26 tahun dan 27 tahun masing-masing ditahan di Jalan Panji Alam dan Kampung Seberang Baroh, semalam sekitar jam 4 petang.
“Seorang wanita berusia 21 tahun yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan telah menjadi mangsa ragut dan rakaman litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa telah ditolak hingga terjatuh ke bahu jalan oleh dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha NVX tanpa nombor pendaftaran.
“Mangsa mengalami kecederaan di lutut kiri dan kehilangan beberapa barangan peribadi, termasuk telefon bimbit, kunci kereta, dompet yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad mesi juruwang automatik (ATM) dan pengecas telefon,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, motosikal yang digunakan dalam kejadian, pakaian yang dipakai suspek ketika melakukan jenayah dan beberapa barangan milik mangsa seperti kad pengenalan, lesen memandu dan dompet berjaya dirampas.
Jelasnya, kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam dua kes ragut pada hari kejadian, namun ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette